KUALA TERENGGANU, 13 Julai – Kerajaan Terengganu tidak bercadang menubuhkan pusat pembangunan kemahiran atau institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) baharu buat masa ini.
Sebaliknya, kerajaan negeri akan memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh institusi sedia ada, memperluas akses latihan dan memastikan program yang ditawarkan memenuhi keperluan industri semasa.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan negeri, Hishamuddin Abdul Karim berkata, kapasiti institusi TVET yang ada ketika ini masih mampu menampung keperluan latihan kemahiran golongan belia dan beliawanis di Terengganu.
Menurutnya, negeri itu mempunyai beberapa institusi TVET yang menawarkan pelbagai bidang kemahiran, antaranya Terengganu Skills Development Centre Berhad (Terengganu Skills), TATI University College dan Terengganu Timber Industry Training Centre (TTITC).
“Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu turut melaksanakan pelbagai kursus kemahiran khusus untuk beliawanis di setiap daerah.
“Kemudahan ini turut disokong oleh institusi latihan milik kerajaan Persekutuan dan sektor swasta yang beroperasi di negeri ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan ADUN Bukit Besi, Ghazali Sulaiman, pada Mesyuarat Kedua Penggal Persidangan Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu ke-15 di Wisma Darul Iman, hari ini.
Hishamuddin berkata, kerajaan negeri kini memberi penekanan terhadap usaha meningkatkan keupayaan institusi TVET sedia ada supaya lebih berdaya saing serta mampu memenuhi keperluan pasaran pekerjaan.
Antara strategi yang dilaksanakan ialah menaik taraf kemudahan latihan, peralatan dan penggunaan teknologi terkini dalam bidang tenaga boleh diperbaharui, automasi dan Industri 4.0, teknologi maritim, kecerdasan buatan (AI), teknologi hijau serta penyelenggaraan dron.
Katanya, akses latihan juga akan diperluas melalui program TVET satelit dan latihan berasaskan komuniti dengan memanfaatkan pusat komuniti desa, dewan orang ramai serta institusi pendidikan kerajaan di setiap daerah.
“Kerjasama strategik dengan pihak industri turut diperkukuh bagi menyediakan lebih banyak peluang latihan industri, program perantisan, penempatan pekerjaan dan penajaan latihan kepada peserta TVET,” katanya.
Beliau berkata, kerajaan negeri juga akan memperbanyak kursus modular dan mikro-kredensial yang lebih fleksibel serta menepati keperluan semasa, termasuk dalam bidang teknologi solar, pendawaian elektrik, pendigitalan dan keusahawanan.
Dalam perkembangan sama, Hishamuddin memaklumkan Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) merekodkan sebanyak 106 Pusat Bertauliah di Terengganu yang ditauliahkan untuk melaksanakan Sistem Persijilan Kemahiran Malaysia (SPKM).
Menurutnya, JPK sentiasa mengalu-alukan pihak yang berminat mendapatkan pentauliahan sebagai Pusat Bertauliah dan menyediakan khidmat runding berkaitan pelaksanaannya.
Sementara itu, Majlis Amanah Rakyat (MARA) juga belum bercadang membuka pusat kemahiran baharu di Terengganu kerana mempunyai 12 institusi pendidikan MARA di seluruh negeri, termasuk TVETMARA Besut, TVETMARA Kemaman dan GIATMARA.
GIATMARA pula mempunyai 10 cawangan di seluruh Terengganu, dengan sekurang-kurangnya satu cawangan di setiap daerah.
Kursus yang ditawarkan merangkumi bidang automotif, motosikal, elektrik, elektronik, kimpalan, penyamanan udara, sistem komputer, fesyen dan jahitan, hiasan dalaman, kulinari serta bakeri.
Hishamuddin berkata, pendekatan kerajaan negeri bukan sekadar menambah bilangan institusi TVET, tetapi memastikan akses latihan diperluas, mutu latihan dipertingkatkan dan graduan yang dilahirkan mempunyai kebolehpasaran tinggi.
“Usaha ini selaras dengan aspirasi Pelan Induk Terengganu Sejahtera 2030 untuk melahirkan modal insan mahir yang mampu memenuhi keperluan industri serta menyokong pembangunan ekonomi negeri,” katanya.