KUALA TERENGGANU, 6 Ogos – Kerajaan negeri sedang meneliti pemasangan pagar SPEGKOM di beberapa lokasi yang dikenal pasti sebagai laluan gajah di Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) sebagai langkah jangka pendek bagi meningkatkan keselamatan pengguna jalan raya susulan kemalangan melibatkan haiwan berkenaan di Kilometer 274.6, Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) arah utara selepas Plaza Tol Cheneh menghala ke Kuala Terengganu, semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 10.20 malam itu, sepasang suami isteri cedera ringan selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Estima yang mereka naiki merempuh sekumpulan gajah liar yang sedang melintas jalan.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris berkata, kerajaan negeri memandang serius kejadian itu dan telah mengadakan perbincangan segera bersama Pengarah Jabatan PERHILITAN Terengganu bagi mendapatkan laporan terkini dan menyelaras tindakan susulan.
Menurut beliau, Jabatan PERHILITAN telah melaksanakan beberapa tindakan segera termasuk kawalan dan pemantauan berterusan di kawasan aduan serta menggunakan dron bagi mengesan dan memantau pergerakan gajah di lokasi berkenaan.
"PERHILITAN juga akan mengadakan perbincangan bersama Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dan pihak pengurusan LPT2 berhubung cadangan pemasangan pagar SPEGKOM di lokasi yang dikenal pasti sebagai laluan gajah," jelas dalam satu kenyataan facebook hari ini.
Razali berkata, bagi penyelesaian jangka panjang, kerajaan negeri bersama Jabatan PERHILITAN akan meneliti pelaksanaan kawasan 'food bank' hidupan liar melalui penanaman rumput Napier dan spesies tumbuhan makanan lain yang bersesuaian.
Katanya, pendekatan itu diharap dapat mengurangkan konflik antara manusia dan hidupan liar, di samping meningkatkan keselamatan pengguna jalan raya serta memelihara ekosistem semula jadi.
Justeru itu, beliau turut menasihatkan pengguna jalan raya supaya sentiasa berwaspada sekiranya terserempak dengan gajah, tidak menghampiri atau mengganggu haiwan berkenaan, tidak membaling objek, mengelakkan penggunaan hon dan lampu tinggi, serta memberi laluan kepada gajah yang sedang melintas.
"Kerajaan Negeri akan terus memantau perkembangan semasa dan memastikan setiap langkah mitigasi dilaksanakan secara bersepadu demi keselamatan rakyat serta kelestarian hidupan liar di Terengganu," katanya.
Beliau turut memaklumkan bahawa akan menziarahi mangsa yang terlibat dalam kemalangan berkenaan sebagai tanda keprihatinan Kerajaan Negeri.