Jalur Gemilang
Berita :
Kerajaan Terengganu Bakal Ambil Tindakan Undang-Undang Isu Tumpahan Arang Batu Teluk Kalong
Kerajaan Terengganu Bakal Ambil Tindakan Undang-Undang Isu Tumpahan Arang Batu Teluk Kalong
Muhammad Fakhruddin Bin Nordin
18 jam yang lepas
248

KEMAMAN, 4 September – Kerajaan Terengganu bakal mengambil tindakan undang-undang terhadap syarikat pemilik tongkang yang didakwa gagal membersihkan sepenuhnya sisa tumpahan arang batu yang mencemari Pantai Teluk Kalong, Kemaman.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Negeri, Datuk Razali Idris berkata, beliau telah meminta Penasihat Undang-Undang Negeri mengkaji tindakan tegas yang boleh diambil terhadap syarikat pemilik tongkang berkenaan.

Menurutnya, tindakan tersebut perlu bagi memastikan pihak yang bertanggungjawab mengambil serius aspek kebersihan dan kelestarian alam sekitar, khususnya kawasan pantai yang menjadi tumpuan pelancong serta sumber pendapatan penduduk setempat.

“Pencemaran arang batu berkenaan sepatutnya dibersihkan oleh pihak bertanggungjawab mengikut tempoh yang ditetapkan kerana Teluk Kalong merupakan destinasi pelancongan popular di Terengganu serta menjadi sumber pendapatan penduduk setempat,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas program gotong-royong membersihkan tumpahan sisa arang batu di Pantai Teluk Kalong, baru-baru ini.

Menurut Razali, pihaknya akan segera berbincang dengan Majlis Perbandaran Kemaman (MPK), Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan agensi berkaitan bagi menentukan pihak yang mempunyai bidang kuasa untuk memberikan pengajaran kepada pemilik tongkang serta pihak lain yang beroperasi di kawasan perairan berhadapan Teluk Kalong.

“Saya akan uruskan secepat mungkin sama ada MPK ataupun Jabatan Alam Sekitar ataupun Kerajaan Negeri yang mana mempunyai kuasa untuk memberi satu pengajaran kepada tokang-tokang ataupun lain-lain pihak yang berada di sekitar permukaan laut yang berhadapan dengan Teluk Kalong,” katanya.

Program berkenaan melibatkan kira-kira 300 peserta terdiri daripada pekerja syarikat-syarikat pembersihan, kakitangan Majlis Perbandaran Kemaman (MPK), Pejabat Daerah Kemaman, JAS, Eastern Steel Sdn Bhd serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Hasil gotong-royong tersebut, kira-kira 500 tan arang batu yang terdampar di Pantai Teluk Kalong berjaya dibersihkan.

Sisa berkenaan dipercayai berpunca daripada tumpahan muatan sebuah tongkang yang karam di kawasan terbabit pada Januari lalu. 

Kerja-kerja pembersihan sebelum ini telah dilaksanakan oleh kontraktor yang dilantik, namun sisa arang batu kembali terdampar selepas kerja-kerja pemotongan struktur badan tongkang dilakukan bagi tujuan pelupusan.

Isu berkenaan turut mendapat perhatian Kerajaan Negeri sebelum ini apabila kerja pembersihan di kawasan pantai sepanjang kira-kira 300 meter dilaksanakan bagi memastikan kawasan pesisir kembali bersih dan selamat.

Dalam pada itu, sebuah kilang besi di daerah berkenaan bersedia mengambil sisa arang batu yang dikumpulkan untuk dilupuskan, manakala pihak Majlis Perbandaran Kemaman (MPK) dan kilang berkenaan akan dibincangkan bagi mewujudkan pasukan pemantauan serta pembersihan pantai secara berkala.

Langkah berkenaan penting bagi memastikan sebarang sisa yang kembali terdampar dapat ditangani segera selain mengelakkan pencemaran berulang yang boleh menjejaskan imej Teluk Kalong sebagai antara destinasi pelancongan pantai di daerah Kemaman.


Tag :

Jalur Gemilang

Artikel Berkaitan