KUALA TERENGGANU, 20 Julai – Kerajaan Terengganu terus memperluas peluang kerjaya berkemahiran tinggi apabila 28 anak negeri di bawah tajaan Yayasan Terengganu dan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) dipersiapkan untuk menghadiri sesi temu duga bersama Malaysia Airlines Berhad Engineering Services (MABES).
Daripada jumlah itu, 17 calon menghadiri Program Ramah Mesra Bersama Calon Temu Duga MABES di Pusat Cari Kerja @ Gerbang Kerjaya Terengganu Human Resource Development Centre (THRDC), di sini, hari ini.
Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Dato’ Ariffin Deraman berkata, inisiatif itu bertujuan membina laluan kerjaya lebih tersusun kepada anak Terengganu, khususnya dalam bidang penyelenggaraan dan kejuruteraan penerbangan.
Menurutnya, industri berteknologi tinggi itu menawarkan prospek kerjaya yang stabil, kompetitif dan berpendapatan tinggi.
“Kerajaan negeri bukan sahaja mahu melihat anak-anak Terengganu memperoleh pekerjaan, malah berjaya membina kerjaya yang stabil dan berdaya saing dalam industri berteknologi tinggi.
“Kerjasama strategik dengan pemain industri seperti MABES membuka ruang kepada lebih ramai belia untuk mengembangkan potensi serta memperoleh pengalaman dalam sektor yang menjadi antara pemacu utama ekonomi negara,” katanya selepas menghadiri program berkenaan.

Katanya, selain kelayakan teknikal, aspek disiplin, kemahiran komunikasi dan keyakinan diri turut menjadi elemen penting dalam menentukan kejayaan calon menempatkan diri dalam industri penerbangan.
Beliau berkata, kerajaan negeri akan terus memperluas jaringan kerjasama dengan pelbagai syarikat dan pemain industri bagi menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan berkualiti kepada rakyat Terengganu.
Usaha itu, katanya, selaras dengan agenda negeri untuk memperkasa pembangunan modal insan serta meningkatkan penyertaan anak tempatan dalam sektor strategik.
“Saya berharap semua calon memanfaatkan peluang ini sebaik mungkin, berjaya dalam sesi temu duga dan seterusnya menjadi kebanggaan negeri serta menyumbangkan kepakaran kepada industri penerbangan negara,” katanya.