Berita :
Kerajaan Terengganu Labuh 40 Unjam Di Kerteh,  Bantu Tingkatkan Pendapatan Nelayan Zon A
Kerajaan Terengganu Labuh 40 Unjam Di Kerteh, Bantu Tingkatkan Pendapatan Nelayan Zon A
Hidayah Azlin
1 hari yang lepas
93

KEMAMAN – Kerajaan Negeri Terengganu memulakan tirai Program Labuh Unjam bagi tahun 2026 dengan melabuhkan sebanyak 40 unit unjam di perairan Pantai Kerteh, di sini hari ini.

Langkah strategik itu merupakan fasa pertama program berkenaan sebelum ia bakal diperluaskan ke daerah-daerah lain di seluruh negeri dalam masa terdekat.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi Negeri, Dato’ Dr. Azman Ibrahim berkata, program tersebut dilaksanakan khusus bagi membantu golongan nelayan pantai Zon A meningkatkan hasil tangkapan mereka.

Mengulas mengenai pemilihan unjam berbanding tukun tiruan, Dr. Azman menjelaskan bahawa kedua-duanya mempunyai fungsi berbeza dalam ekosistem marin dan pembinaan rumah ikan.

"Unjam yang menggunakan daun kelapa ini berfungsi khusus untuk menarik spesies ikan pelagik atau ikan di pertengahan air seperti selar, selayang, kembung, tenggiri, tongkol, dan cencaru.

"Tukun pula disasarkan untuk spesies ikan dasar seperti merah, kerapu, mandi abu, kunyit, tombok, deloh, serta sotong. Jadi, kita tidak membezakan darjat, sebaliknya kedua-duanya saling melengkapi," katanya.

Program penyerahan dan pelabuhan unjam tersebut telah disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paka, Ir. Saiful Azmi Suhaili yang mewakili beliau.

Menurut Dr. Azman, fokus bersasar diberikan kepada nelayan pantai Zon A tanpa mengabaikan nelayan di Zon B, C, dan C2 atas beberapa faktor kritikal antaranya kekangan logistik iaitu saiz bot Zon A yang kecil dengan peralatan menangkap ikan yang amat terhad. Selain itu, kawasan tangkapan sering dicerobohi bot pukat tunda (terutamanya dari negeri jiran) yang merosakkan unjam dan bubu nelayan tempatan. 

Seterusnya, kekurangan sumber perikanan di dalam kawasan tangkapan yang terhad (lingkungan 5 batu nautika dari pantai) serta majoriti golongan nelayan pantai berada dalam kelompok B40 malah golongan ini sering menjadi mangsa manipulasi harga oleh pihak orang tengah.

Bagi mendepani cabaran tersebut, Kerajaan Negeri Terengganu telah merangka enam langkah progresif bagi membela nasib nelayan pantai antaranya menyelesaikan isu lebih 800 nelayan pantai tanpa lesen bagi membolehkan mereka menerima subsidi minyak, elaun sara hidup, dan pelbagai bantuan kerajaan.

 Selain itu, memperbanyak program melabuh tukun dan unjam secara berkala. Mengagihkan bantuan fizikal seperti peranti GPS, kawat bubu, pukat, jaket keselamatan, dan enjin bot serta membina dan menaik taraf jeti , bilik sejuk (*cool room*). Antara jeti terlibat termasuklah Jeti Kg Fikri (Setiu), Jeti Kg Batin (Seberang Takir), Jeti Tok Fakir (Merchang), Jeti Beting Lintang, Jeti Losong (Kuala Terengganu), dan Jeti Geliga (Kemaman).

Dalam pada itu, kediaman turut dibina yang lebih teratur menerusi Projek Penempatan Semula Nelayan (PSN) di Kemaman, Besut, dan Setiu. Seterusnya menjalankan operasi berterusan bagi melindungi zon tangkapan nelayan pantai daripada dicerobohi bot pukat tunda.

Berdasarkan data statistik, komoditi nelayan pantai merupakan penyumbang terbesar kepada pendaratan ikan marin di Terengganu berbanding nelayan Zon B dan C.

Statistik menunjukkan jumlah pendaratan hasil laut oleh nelayan pantai mencatatkan peningkatan drastik daripada 15,086 metrik tan pada tahun 2018 kepada 25,608 metrik tan pada tahun 2023.

"Ini melibatkan peningkatan melebihi 10,000 metrik tan dalam tempoh lima tahun. Usaha ini akan terus dijalankan secara konsisten demi kelangsungan hidup warga nelayan kita," tambah beliau.


Tag :

Ketupat

Artikel Berkaitan