lightning-solid
Berita :
Inisiatif Labuh Unjam Komuniti Secara Gotong Royong Diteruskan
Inisiatif Labuh Unjam Komuniti Secara Gotong Royong Diteruskan
Hidayah Azlin
1 hari yang lepas
153

Kuala Terengganu, 26 Julai – Komuniti nelayan di sekitar daerah Kuala Nerus dan Kuala Terengganu kini menerima ‘hadiah’ istimewa apabila kerajaan negeri meneruskan inisiatif melabuhkan unjam secara bergotong-royong demi merancakkan lagi sektor perikanan tempatan.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi Negeri Terengganu, Dato’ Dr Azman Ibrahim berkata, program binaan ‘rumah ikan’ itu dilaksanakan secara bersama antara pihak kerajaan dan komuniti nelayan setempat.

Menurutnya, pembiayaan dan peruntukan disediakan oleh kerajaan negeri, manakala kerja-kerja penyediaan peralatan serta penyusunan unjam dibuat secara bergotong-royong sebelum dibawa ke laut untuk dilabuhkan.

"Komponen unjam ini merangkumi pelampung, tali, daun dan pemberat konkrit. Kita mahu nelayan rasa ini adalah unjam milik bersama, jadi timbul rasa kebertanggungjawaban untuk menjaga dan mengambil manfaat daripadanya secara berhemah.

"Saya memang tidak sempat nak pantau sentiasa di laut, jadi kita serahkan kepada komuniti untuk pakat-pakat jaga," katanya dalam satu kenyataan, di sini.

Dalam pada itu, pemilihan bahan binaan unjam yang menggunakan daun teja adalah bahan yang diketahui menjadi kegemaran spesis ikan merah.

"Biasanya daun teja yang digunakan untuk buat unjam ini memang kegemaran ikan merah. Jadi awok-awok kita yang dapat hasil ikan merah nanti, jangan pula buat-buat lupa atau tidak jumpa nombor telefon saya," selorohnya.

Usaha pemuliharaan khazanah laut dan penyediaan unjam secara berkala ini diharapkan dapat meningkatkan populasi ikan, sekali gus membantu menjana serta melonjakkan pendapatan sesebuah keluarga nelayan di kawasan berkenaan.


Tag :

Artikel Berkaitan