lightning-solid
Berita :
Lokasi Tukun Sengaja Dibocorkan Demi Manfaat Nelayan
Lokasi Tukun Sengaja Dibocorkan Demi Manfaat Nelayan
Hidayah Azlin
2 jam yang lepas
69

SETIU, 27 Ogos - Membocorkan lokasi tukun tiruan bukanlah satu amalan biasa, namun Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi Terengganu, Dato’ Dr Azman Ibrahim memilih untuk mengambil pendekatan berbeza demi manfaat pemancing dan nelayan tempatan.

Menerusi hantaran di laman sosialnya, secara terbuka memaparkan koordinat GPS lokasi pelabuhan tukun di perairan Setiu.

Menurutnya, lokasi berkenaan melibatkan sembilan unit tukun gergasi seberat 17 tan setiap satu yang telah dilabuhkan secara rasmi pada 17 Oktober 2021.

"Biasa tak boleh (minta lokasi tukun). Tapi hari ini saya bagi satu.

"Cuba pergi periksa tengok ada ikan atau tidak. Selepas itu hantar gambar pada saya. Kalau hantar ikan pun saya tak marah," katanya secara berseloroh.

Hasil semakan pada paparan GPS yang dikongsi menunjukkan tukun berkenaan berada di koordinat N 05°43.351' E 102°46.837'.

Inisiatif penempatan tukun beraneka fungsi itu dilaksanakan bagi memperkaya khazanah laut, sekali gus menjadi lubuk pembiakan pelbagai spesies ikan asas dan komersial di perairan berkenaan.

Langkah berkongsi maklumat tersebut diharapkan dapat membantu meningkatkan hasil tangkapan nelayan sampan dan pemancing rekreasi, di samping merancakkan aktiviti ekonomi berasaskan sektor perikanan di daerah Setiu.


Tag :

Artikel Berkaitan