Berita :
Kijal Jadi Lokasi Tumpuan Pelancong Candat Sotong Jarum
Kijal Jadi Lokasi Tumpuan Pelancong Candat Sotong Jarum
Adli Mohamad
17 jam yang lepas
97

KUALA TERENGGANU, 15 April - Kawasan Jeti Star Cruise, di Kijal kini semakin mendapat perhatian dan menarik ramai pengunjung terutamanya dari negeri Pahang apabila menjadi lokasi tumpuan pelancong melakukan aktiviti candat Sotong Jarum.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris berkata, sepanjang kawasan dari Resort World sehingga ke Pantai Kalong disifatkan menjadi anugerah Ilahi apabila disinggahi sotong jarum.

"Ini merupakan satu anugerah yang luar biasa dan bukan orang Kijal sahaja mendapat manafaat daripada kehadiran sotong jarum, tetapi ia menjadi satu daya tarikan produk berasaskan komuniti (CBT) cuma, ia tidak berlaku tiap-tiap tahun.

"Sekali sekala sahaja, saya ingat sudah 40 tahun sotong jarum ini tidak singgah. Jadi, kita berharap agar ia akan terus menjadi fenomena dan salah satu daya tarikan baharu untuk menarik lebih ramai lagi pelancong ke negeri ini.

"Sekarang ia semakin tular dan (mungkin) menyebabkan satu Malaysia hendak datang ke Kijal,"ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui oleh Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), pada Majlis Penyampaian Hakmilik PN14793 Lot 55143, Mukim Kijal, Daerah Kemaman, di Wisma Darul Iman, di sini, hari ini.

Mengulas lebih lanjut, Razali berharap agar pelancong yang datang ke negeri ini lebih bertanggungjawab dalam memastikan kawasan pantai sentiasa dalam keadaan bersih.

"Mereka perlu tahu bahawa moto negeri adalah 'Terengganu Bersih, Allah Kasih', dalam memastikan pantai yang kita miliki ini sentiasa bersih saya baru-baru ini bersama dengan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) telah mengambil inisiatif membersihkanya, dan kini ia terjaga.

"Kita mengharapkan agar orang tahu bahawa kebersihan itu sendiri merupakan produk pelancongan negeri Terengganu, kalau tidak bersih ia tidak akan menjadi daya tarikan untuk orang datang, rakyat negeri ini sudah faham.

 "Kita akan terus mendidik pelancong dari luar supaya akhirnya mereka akan faham dan akan bersama-sama memastikan khazanah yang kita miliki ini sentiasa terpelihara dan berada dalam keadaan sentiasa bersih," katanya.


Tag :

Ketupat

Artikel Berkaitan