KEMAMAN, 20 Ogos – Masjid Jamek Kijal terus diperkasa sebagai pusat ilmu dan penghayatan al-Quran apabila suasananya diserikan dengan Program Menelusuri Ibrah Qurani Siri 21, yang menghimpunkan para jemaah dalam sesi tadarus dan tadabbur Surah Al-Faatir penuh penghayatan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijal, Datuk Razali Idris berkata, program berteraskan al-Quran seperti itu penting dalam usaha menjadikan masjid bukan sekadar tempat menunaikan ibadah, malah sebagai pusat ilmu yang mampu membentuk masyarakat berpengetahuan dan dekat dengan ajaran agama.
“Di Kijal, kita turut melaksanakan program Subuh Warrior sebagai usaha mendidik anak-anak kita supaya menjaga solat fardu dan membudayakan masjid sejak usia muda. Kita mahu masjid menjadi pusat ilmu yang hidup serta menjadi tempat masyarakat mendapatkan pengisian agama dan membina kefahaman,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas ditemui media ketika merasmikan Program Menelusuri Ibrah Qurani Siri 21 di Masjid Jamek Kijal hari ini.
Menurut Razali, budaya ilmu yang dipupuk melalui program keagamaan turut mencerminkan identiti Terengganu yang bukan sahaja terkenal dengan destinasi pelancongan, malah kaya dengan tradisi ilmu pengetahuan.
“Terengganu bukan sahaja terkenal dengan pusat pelancongan, tetapi juga sarat dengan budaya ilmu pengetahuan. Sebab itu program seperti ini perlu terus diperkasakan supaya masyarakat bukan sahaja membaca al-Quran, tetapi memahami dan menghayati mesej yang terkandung di dalamnya,” ujarnya.

Program berkenaan bertujuan memberi ruang kepada masyarakat untuk mendekati, memahami dan menghayati kandungan al-Quran secara lebih mendalam melalui sesi tadarus serta tadabbur, khususnya Surah Al-Faatir.
Program kali ini turut menampilkan dua pentadarus jemputan iaitu Sheikh Dr. Bilal Al-Hossayny dan Ahmad Uwais Qarni Mat Razali, manakala sesi pentadabbur disampaikan oleh Wan Zuki.
Penganjuran program tersebut diharap dapat menyemarakkan budaya membaca, memahami dan menghayati al-Quran dalam kalangan masyarakat, selain menjadikan kandungan dan pengajarannya sebagai panduan dalam kehidupan seharian.
