KUALA NERUS, 2 April - Kedudukan Melayu dan Bumiputera sebagai kelompok majoriti di Malaysia perlu terus diperkukuh kerana ia menjadi teras kepada kestabilan negara, kata Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Terengganu, Dato’ Mohd Nor Hamzah.
Menurut beliau, pengukuhan tersebut tidak boleh dilihat dalam skop sempit, sebaliknya mesti merangkumi pelbagai aspek penting termasuk pendidikan, ekonomi, sosial dan nilai kemasyarakatan.
“Dalam konteks Malaysia, kita perlu jujur melihat realiti. Melayu dan Bumiputera adalah kelompok majoriti yang menjadi teras kepada kestabilan negara.
“Mengukuhkan kedudukan ini bermakna mengukuhkan asas negara itu sendiri daripada pelbagai aspek seperti pendidikan, ekonomi, sosial dan nilai sebuah kemasyarakatan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Ijtimak Antarabangsa Perpaduan Ummah dan Himpunan Alam Melayu 2026 di sini hari ini.
Bagaimanapun, Mohd Nor menegaskan bahawa usaha memperkukuh kedudukan teras negara itu tidak sesekali bermaksud mengetepikan masyarakat lain yang telah lama bersama membina Malaysia.
Sebaliknya, kata beliau, keharmonian yang dikecapi hari ini lahir daripada kesediaan semua pihak untuk hidup bersama, saling memahami serta berkongsi masa depan yang sama demi negara tercinta.
“Dalam masa yang sama, kita tidak boleh mengetepikan masyarakat lain yang telah lama bersama membina negara ini.
“Keharmonian yang kita nikmati hari ini lahir daripada kesediaan untuk hidup bersama, saling memahami dan berkongsi masa depan yang sama demi Malaysia yang tercinta,” katanya.
Menurut beliau, keseimbangan antara pengukuhan kedudukan majoriti dan pemeliharaan keharmonian masyarakat majmuk itu merupakan perkara yang mesti dijaga dengan penuh kebijaksanaan.
Mohd Nor turut menekankan bahawa soal kepimpinan juga tidak boleh dipisahkan dalam usaha membina perpaduan dan kestabilan negara.
Katanya, negara memerlukan barisan pemimpin yang bukan sahaja mempunyai prinsip yang jelas, malah bersih dalam tindakan dan sentiasa sedar bahawa amanah yang dipikul akan dipersoalkan, bukan sahaja di dunia tetapi juga di akhirat.
“Pada masa yang sama, soal kepimpinan tidak boleh dipinggirkan. Kita memerlukan barisan pemimpin yang diyakini, jelas prinsipnya, bersih tindakannya dan sentiasa menyedari bahawa amanah ini akan dipersoalkan di dunia dan di akhirat,” katanya.
Tag :