lightning-solid
Berita :
KMI Healthcare Himpun Lebih 1,000 Peserta 'Exercise' Rohani dan Jasmani
KMI Healthcare Himpun Lebih 1,000 Peserta 'Exercise' Rohani dan Jasmani
Mohd Irsyadi Abu Bakar
7 jam yang lepas
113

KUALA TERENGGANU, 11 Julai - Lebih 1,000 penduduk sekitar Kuala Terengganu berhimpun di Masjid Al-Muktafi Billah Shah, Ladang, dalam program Subuh Macam Jumaat & Fun Run anjuran Kumpulan Medik Iman (KMI) Healthcare, pagi ini.

Bermula dengan solat Subuh secara berjemaah yang dihadiri duta KMI Healthcare iaitu personaliti Alif Satar, ia diteruskan dengan Tazkirah Subuh yang menampilkan penceramah 'Ustaz Mad Kecik' sebagai pengisian rohani.

Seterusnya, KMI Healthcare mengetengah acara Fun Run sejauh lima kilometer sebagai pengisian jasmani untuk memupuk gaya hidup sihat kepada masyarakat setempat.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ir. Ts. Dr. Nurul Islam Mohamed Yusoff, sekalipun KMI Healthcare merupakan syarikat yang menyediakan perkhidmatan kesihatan, penganjuran program berkenaan bertujuan mendidik masyarakat dalam menjaga kesihatan diri.

 "Apabila kita ambil Alif satar sebagai duta, kita bincang apa bentuk program yang boleh dilaksanakan? Alif bagi pandangan mengapa tidak kita buat 'Subuh macam Jumaat' supaya KMI bukan sahaja menyediakan perkhidmatan kesihatan tetapi juga kita membantu ataupun mengajak rakyat untuk meningkatkan kesihatan rohani kita.

"Selepas kita selesai solat Subuh, kita gabungkan pula dengan Fun Run sebagai program kesihatan jasmani. 

"Jadi, kita nampak idea itu menarik dan secara tidak langsung memperkenalkan KMI kepada masyarakat," katanya ketika ditemui selepas program tersebut.

Tambahnya, usaha itu juga merupakan tanggungjawab korporat dan sosial (CSR) syarikat sebagai anak syarikat kerajaan negeri.

"Sebagai penyedia perkhidmatan kesihatan, kalau kita tengok keuntungan mestilah kita mahu orang sakit. 

"Namun, dalam menyediakan perkhidmatan kesihatan, kita nak rakyat supaya sihat, tak kisahlah, kalau boleh dia tak sakit dan sentiasa amalkan gaya hidup sihat

"Oleh sebab itu di KMI, kita bukan sahaja merawat orang sakit, tetapi kita juga ada 'dietician' yang ajar orang pemakanan sihat. Kita ada rehabilitasi yang bantu orang untuk jadi sihat," ujarnya.



Tag :

Artikel Berkaitan