KUALA TERENGGANU, 15 April – Penjawat awam digesa agar lebih berjimat cermat serta mengawal perbelanjaan susulan risiko kesan ekonomi global akibat konflik di Asia Barat.
Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mohd Azmi Mohamad Daham berkata, konflik di Asia Barat menyebabkan tekanan kepada harga minyak dan rantaian bekalan global.
“Bank Negara Malaysia sendiri menegaskan bahawa konflik Asia Barat boleh memberi kesan kepada Malaysia.
“Ia termasuk harga tenaga yang lebih tinggi, peningkatan kos import dan pengeluaran serta tekanan kepada harga pengguna yang akhirnya boleh menjejaskan perbelanjaan isi rumah,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Perjumpaan Setiausaha Kerajaan Terengganu Bersama Penjawat Awam Setiu sempena lawatan kerja beliau ke daerah tersebut di Dewan Serbaguna Majlis Daerah Setiu, Sungai Tarom, semalam.
Justeru, beliau berharap penjawat awam mengamalkan sikap berjimat cermat, berbelanja secara berhemah, mengelakkan pembaziran serta mengurus kewangan peribadi dan keluarga dengan lebih bijaksana, sekaligus menjadi contoh teladan kepada masyarakat.
Dalam masa yang sama, beliau menyeru penjawat awam mempraktikkan ‘Budaya Kerja Berprestasi Tinggi’ yang menjadi kebanggaan seperti, profesional, berdisiplin tinggi, memiliki semangat berpasukan serta komitmen berterusan terhadap penambahbaikan supaya daerah Setiu terus dipacu sebagai daerah yang meningkat maju, berdaya tahan dan cemerlang dalam penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.
“Tidak dilupakan sebagai seorang penjawat awam, peliharalah jati diri dengan menjauhi, menolak serta tidak bertoleransi terhadap sebarang bentuk pelanggaran tatakelakuan, rasuah dan konflik kepentingan, kerana sebaik dan sehebat mana perkhidmatan kita, ianya tidak membawa apa-apa makna jika tidak didasari dengan integriti,” ujarnya.
Tag :