Berita :
Kos Sara Hidup Jadi Fokus Utama Sidang DUN – Zuraida Md Noor
Kos Sara Hidup Jadi Fokus Utama Sidang DUN – Zuraida Md Noor
Rohayati Ripin
12 jam yang lepas
140

KUALA TERENGGANU, 14 April – Isu peningkatan kos sara hidup susulan kenaikan harga minyak dijangka menjadi tumpuan utama dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu bermula Isnin depan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ladang, Zuraida Md Nor berkata, sidang DUN perlu berlangsung dengan penuh kematangan, telus dan memberi fokus sepenuhnya kepada kepentingan rakyat yang kini berdepan tekanan ekonomi semakin mencabar.

“Saya berharap setiap perbahasan yang berlangsung tidak tersasar daripada isu-isu sebenar dihadapi oleh rakyat di lapangan. 

“Dalam keadaan ekonomi yang masih mencabar, kos sara hidup meningkat, dan ketidaktentuan global, rakyat mengharapkan penyelesaian praktikal serta segera. 

“Maka, sidang kali ini perlu memberi penekanan kepada dasar-dasar yang mampu meringankan beban rakyat seperti bantuan bersasar, peluang pekerjaan berkualiti, serta pengukuhan jaringan keselamatan sosial,” jelasnya ketika dihubungi hari ini.

Menurutnya, sidang DUN merupakan platform penting untuk membawa suara rakyat ke peringkat pembuat dasar dan setiap perbahasan perlu tertumpu kepada isu sebenar di lapangan.

Tambah beliau, antara isu paling penting yang akan dibangkitkan adalah berkaitan kos sara hidup, termasuk langkah konkrit kerajaan dalam membantu rakyat menangani tekanan harga barang, kos perumahan serta perkhidmatan asas.

“Saya juga akan menilai keberkesanan bantuan sedia ada serta mencadangkan penambahbaikan supaya lebih bersasar dan memberi impak menyeluruh kepada rakyat,” jelasnya.

Selain itu, Zuraida turut memaklumkan akan membawa isu kesihatan wanita dan peningkatan kes perceraian yang memerlukan perhatian serius, termasuk sokongan sosial dan intervensi yang lebih berkesan.

Dalam masa sama, isu alam sekitar khususnya pengurusan banjir juga akan diberi perhatian, memandangkan ia memberi kesan langsung kepada kesejahteraan penduduk.

“Secara keseluruhannya, setiap isu yang saya bangkitkan adalah berpaksikan kepada suara dan keperluan rakyat,” tambahnya.

Beliau turut menegaskan kepentingan kerajaan negeri memberikan jawapan yang jelas, telus dan berasaskan data terhadap setiap persoalan yang dibangkitkan, termasuk aspek pengurusan kewangan, pelaksanaan projek pembangunan serta keberkesanan program sedia ada.

“Akauntabiliti dan integriti harus menjadi teras dalam setiap tindakan,” katanya.

Menurutnya, semua isu yang diketengahkan adalah berpaksikan kepada suara dan keperluan sebenar rakyat di kawasan yang diwakilinya.

 

 


Tag :

Ketupat

Artikel Berkaitan