lightning-solid
Berita :
Kuasa SKMM Perlu Diseimbangkan Dengan Semak Dan Imbang
Kuasa SKMM Perlu Diseimbangkan Dengan Semak Dan Imbang
Mohd Hafiz Azrin Abdul Razak
1 hari yang lepas
33

KUALA LUMPUR, 16 Julai – Sebarang pertambahan kuasa kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) perlu diseimbangkan  dengan mekanisme semak dan imbang yang kukuh bagi memastikan kebebasan bersuara rakyat terus terpelihara dan tidak terjejas.

Ahli Parlimen Besut, Datuk Che Mohamad Zulkifly Jusoh berkata, reformasi institusi tidak seharusnya hanya tertumpu kepada memperluaskan bidang kuasa sesebuah agensi, sebaliknya mesti diseimbangkan dengan prinsip ketelusan, akauntabiliti serta sistem kawal selia yang berkesan.

Membahaskan Rang Undang-Undang Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (Pindaan) 2026 di Dewan Rakyat semalam, beliau menegaskan kerajaan perlu mengelakkan persepsi bahawa kuasa yang lebih luas boleh digunakan untuk mengekang kritikan terhadap kerajaan.

"Kita tidak mahu internet menjadi ruang yang bebas untuk jenayah. Tetapi pada masa yang sama, kita juga tidak mahu kuasa SKMM menjadi terlalu luas sehingga boleh menimbulkan persepsi bahawa kritikan terhadap kerajaan turut boleh dikenakan tindakan.

"Oleh itu, setiap kuasa yang diberikan kepada SKMM hendaklah disertai dengan mekanisme semak dan imbang yang jelas, telus dan bebas," katanya.

 Che Mohamad Zulkifly turut mempersoalkan mengapa pindaan itu tidak memperkukuhkan mekanisme audit dalaman SKMM walaupun Fasal 15 mencadangkan peningkatan had nilai kontrak komersial yang boleh dibuat tanpa kelulusan Menteri.

Menurutnya, audit oleh juruaudit bebas yang diperuntukkan dalam akta sedia ada lebih berfungsi mengesan ketirisan selepas ia berlaku, sedangkan sistem audit dalaman yang mantap mampu mencegah penyalahgunaan kuasa lebih awal.

"Apabila skop kuasa dan autonomi semakin besar, maka akauntabiliti juga mestilah lebih besar. Jangan hanya menambah kuasa, tetapi mekanisme audit dalaman tidak diperkukuhkan," ujar beliau.

Dalam pada itu, Che Mohamad menyifatkan larangan melantik Ahli Parlimen atau Ahli Dewan Undangan Negeri sebagai Pengerusi Suruhanjaya sebagai langkah yang positif, namun berpendapat proses pelantikan anggota SKMM juga perlu diperkasakan.

Beliau mencadangkan agar pencalonan dan saringan anggota Suruhanjaya dipertimbangkan melalui Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen bagi memastikan pelantikan dibuat berasaskan merit serta mendapat keyakinan dwipartisan.

Sementara itu,  Che Mohamad Zulkifly turut menyambut baik pewujudan Daftar Arahan Menteri, namun berharap kerajaan membuka akses yang lebih mudah kepada orang ramai tanpa birokrasi atau bayaran fi sebagai langkah meningkatkan ketelusan.

Pada masa sama, beliau menggesa kerajaan memastikan tindakan penguatkuasaan SKMM tidak menimbulkan persepsi bahawa Suruhanjaya digunakan sebagai alat intimidasi terhadap individu yang mengkritik kerajaan atau membangkitkan isu kepentingan awam.

"SKMM juga perlu diperkasakan dengan kepakaran teknikal bagi menangani cabaran baharu teknologi kecerdasan buatan (AI), khususnya penyebaran kandungan 'deepfake' yang semakin membimbangkan.



Tag :

Artikel Berkaitan