KUALA TERENGGANU, 15 Julai - Terengganu melihat potensi besar untuk memperkukuh kerjasama dengan Switzerland dalam pelbagai bidang strategik termasuk pemindahan teknologi, pembangunan modal insan, pendidikan teknikal dan profesional, pelancongan bernilai tinggi serta ekonomi hijau dan mampan.
Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, perkara itu dibincangkan ketika menerima kunjungan hormat Duta Besar Switzerland ke Malaysia, Puan Yang Terutama Chantal Moser, semalam.
Beliau berkata, pertemuan itu membuka ruang kepada kedua-dua pihak bertukar pandangan mengenai usaha menterjemahkan hubungan antarabangsa kepada manfaat yang lebih nyata kepada negeri dan rakyat.
"Switzerland mempunyai reputasi yang kukuh dalam bidang inovasi, teknologi berketepatan tinggi, pendidikan, penyelidikan serta pembangunan ekonomi yang mampan.
"Pada masa sama, Terengganu sedang memperkukuh sektor bernilai tinggi, membangunkan modal insan dan membuka lebih banyak ruang kepada pelaburan berkualiti, sekali gus mewujudkan titik persamaan yang boleh diterokai bersama," katanya dalam satu hantaran di laman Facebook rasmi beliau.

Menurut beliau, bagi Terengganu, setiap hubungan yang dibina dengan rakan antarabangsa perlu memberi nilai tambah kepada pembangunan negeri melalui perkongsian kepakaran, pembukaan peluang pekerjaan serta pertumbuhan ekonomi yang lebih berkualiti.

Ahmad Samsuri turut merakamkan penghargaan kepada Chantal Moser atas kunjungan tersebut dan berharap pertemuan itu menjadi pemangkin kepada kerjasama yang lebih bermakna antara Terengganu, Malaysia dan Switzerland.