Jalur Gemilang
Berita :
Kurang Ilmu Rumah Tangga, Tekanan Ekonomi Antara Faktor Perceraian
Kurang Ilmu Rumah Tangga, Tekanan Ekonomi Antara Faktor Perceraian
Rohayati Ripin
7 jam yang lepas
98

HULU TERENGGANU, 16 Oktober – Kekurangan ilmu dalam membina rumah tangga dan tekanan ekonomi dikenal pasti sebagai antara faktor yang menyumbang kepada perceraian apabila pasangan berdepan konflik serta cabaran kehidupan berkeluarga.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita dan Keluarga serta Perpaduan Nasional negeri, Zuraida Md Noor berkata, kurangnya persediaan ilmu boleh menyebabkan pasangan kurang matang dalam menangani perselisihan sehingga memilih perceraian sebagai jalan penyelesaian.

Menurutnya, terdapat pasangan yang mudah mengambil keputusan untuk bercerai apabila berhadapan masalah kecil kerana tidak mempunyai pengetahuan dan kemahiran mencukupi untuk mengurus konflik rumah tangga.

“Kadang-kadang mereka kahwin ini dengan cetek ilmu, ilmu yang tak banyak. Sebab itu tak matang dalam hubungan dan bila ada isu sikit  nak bercerai dan failkan perceraian

"Bila ilmu yang cetek inilah yang menyebabkan orang ambil jalan singkat," jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak media dalam sidang media selepas program Sambutan Hari Warga Emas & Seminar Citra Minda Intergenerasi Peringkat Negeri Terengganu Darul Iman Tahun 2026 di Dewan Sivik Ajil, Hulu Terengganu.

Tambahnya, tekanan ekonomi turut menjadi antara cabaran yang boleh menjejaskan hubungan suami isteri, khususnya apabila kos sara hidup dan keperluan membesarkan anak semakin meningkat.

"Yang kedua, kadang-kadang tengok ada isu perceraian juga disebabkan faktor ekonomi.

"Tidak dinafikan taraf hidup yang tinggi, bila ada anak pertama, anak kedua ni sikit sebanyak berbebankan dan jadi mereka hilang arah dan tiasa panduan serta ambil jalan ringkas untuk perceraian,"ujar beliau.

Katanya, keadaan itu memerlukan usaha berterusan untuk memperkukuh ekonomi keluarga, termasuk melalui bantuan keusahawanan, pemberian geran serta penyediaan peralatan bagi membantu rakyat memulakan atau mengembangkan perniagaan.

Dalam pada itu, beliau berkata, Yayasan Pembangunan Keluarga turut melaksanakan pelbagai program bagi membantu pasangan mengekalkan keharmonian rumah tangga, termasuk program "Second Honeymoon" dan program pascaperkahwinan.

Menurutnya, program berkenaan antara usaha meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan ilmu rumah tangga serta membantu pasangan menghadapi cabaran kehidupan berkeluarga.

Menurut laporan Bernama pada 21 April 2026, Terengganu merekodkan 3,810 kes perceraian pada 2025, berbanding 2,798 pada 2024 dan 1,802 pada 2023.

 


Tag :

Jalur Gemilang

Artikel Berkaitan