Berita :
Lambaian Arafah, Ubati Jiwa Yang Libang Libu
Lambaian Arafah, Ubati Jiwa Yang Libang Libu
Mohd Irsyadi Abu Bakar
6 jam yang lepas
76

MARANG, 26 Mei - Kelebihan Hari Arafah yang dianugerahkan Allah SWT seharusnya dimanfaatkan sebagai ruang untuk merawat jiwa yang rusuh dan galau.

Setiausaha Kerajaan Terengganu, Dato' Mohd Azmi Mohamad Daham berkata, Hari Arafah mengingatkan manusia tentang hakikat kehidupan, kedudukan diri di sisi Allah SWT serta keperluan untuk sentiasa bermuhasabah.

Menurutnya, perhimpunan umat Islam di padang Arafah pula mengajar bahawa nilai seorang insan bukan diukur daripada pangkat, kekayaan dan kedudukan, tetapi daripada takwa dan amalan masing-masing.

"Dalam dunia hari ini, mesej dari Arafah semakin relevan apabila kemajuan teknologi yang pesat turut diiringi dengan kerusuhan jiwa, krisis nilai dan kehidupan, kehilangan arah hidup. 

"Justeru, pembangunan masyarakat tidak boleh hanya tertumpu kepada infrastruktur dan ekonomi semata-mata, tetapi perlu diperkukuhkan dengan nilai, akhlak dan kekuatan rohani.

"Program seperti Malam Lambaian Arafah ini mempunyai nilai yang besar kerana ia menjadi ruang untuk masyarakat kembali mendekatkan diri kepada Allah SWT, memperbaharui keinsafan, menghidupkan budaya berdoa serta munajat dalam kehidupan seharian," katanya.



Beliau berkata demikian ketika berucap mewakili Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Ir Dr Ahmad Samsuri Mokhtar bagi merasmikan program Lambaian Arafah di Masjid Bukit Payung, semalam. 

Tambahnya, Kerajaan Negeri Terengganu akan terus komited untuk memperkukuhkan syiar Islam, budaya ilmu dan pembangunan modal insan berteraskan nilai Islam yang seimbang. 

Pembangunan yang dihasratkan katanya bukan sekadar kemajuan fizikal, tetapi turut melahirkan masyarakat yang bertanggungjawab, bersatu padu dan sedar bahawa setiap amanah akan dipersoalkan di hadapan Allah SWT.

"Jadi kita ambillah ruang yang ada, esok terutamanya untuk berdoa, supaya apa yang dihajatkan akan dikabulkan Allah SWT kerana setiap kita punya hajat dan kehendak yang berbeza. 

"Walaupun kita mampu mengubah dunia dalam sekelip mata, perubahan boleh dimulakan melalui pembinaan diri, keluarga dan juga masyarakat. 

"Kita percaya sesebuah masyarakat tidak akan kehilangan masa depan selagi nilai dan iman, imannya masih dipertahankan," katanya.



Tag :

Ketupat

Artikel Berkaitan