Jalur Gemilang
Berita :
Lata Tembakah Kembali! 22 Motorhome Meriahkan Destinasi Alam Hulu Besut
Lata Tembakah Kembali! 22 Motorhome Meriahkan Destinasi Alam Hulu Besut
Norekwan Mamat
11 jam yang lepas
132

BESUT, 6 September – Sebanyak 22 buah motorhome dan 26 khemah memeriahkan Lata Tembakah Outdoor Festival (LTOF) 2026, sekali gus menjadi antara program terawal menyambut pembukaan semula Lata Tembakah kepada pengunjung.

Festival selama tiga hari dua malam itu menghimpunkan komuniti peminat aktiviti luar, perkhemahan dan motorhome dari pelbagai negeri dalam usaha memperkenalkan keunikan serta keindahan Lata Tembakah sebagai destinasi pelancongan berasaskan alam semula jadi di Hulu Besut.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Besut, Mohd Husaimi Hussin berkata, penganjuran LTOF 2026 merupakan satu inisiatif yang baik dalam mengetengahkan potensi Lata Tembakah kepada masyarakat, khususnya komuniti caravan, motorhome dan peminat aktiviti luar.

Menurut beliau, penyertaan peserta dari pelbagai negeri bukan sahaja memeriahkan festival, malah secara tidak langsung membantu memperluaskan promosi Lata Tembakah kepada masyarakat luar.

Menurut beliau, penyertaan peserta dari pelbagai negeri bukan sahaja memeriahkan festival, malah secara tidak langsung membantu memperluaskan promosi Lata Tembakah kepada masyarakat luar.

“Lata Tembakah merupakan antara khazanah alam yang cukup bernilai di Hulu Besut. Kita mahu keindahan kawasan ini terus dikenali dan dinikmati oleh masyarakat, namun dalam masa yang sama aspek kelestarian alam sekitar perlu sentiasa diberi keutamaan,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas penganjuran LTOF 2026 yang turut mendapat sambutan menggalakkan daripada komuniti perkhemahan dan motorhome.

Dalam pada itu, Mohd Husaimi turut memaklumkan bahawa Lata Tembakah telah dibuka semula kepada semua pengunjung bermula 5 September selepas melalui proses penambahbaikan.
 

“Insya-Allah, dengan penambahbaikan yang dilaksanakan, kita berharap Lata Tembakah dapat memberikan pengalaman yang lebih selesa dan menarik kepada pengunjung, di samping memastikan kawasan alam semula jadi ini terus terpelihara,” ujar beliau.

Majlis Perasmian Penutup LTOF 2026 telah disempurnakan oleh Timbalan Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Terengganu, Khazan Che Mat.

Turut hadir Pengarah Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu, YM Dato’ Tengku Mohd Arifin Tengku A. Rahman, Ketua Penolong Pegawai Daerah, Hama Hakim Wahyudi Awang, Pegawai Hutan Daerah Terengganu Utara, Wan Radzi Wan Abdullah dan  Penolong Pengarah Hutan Lipur Jabatan Perhutanan Negeri Terengganu, Wan Ghazali Wan Ali.

Mohd Husaimi turut merakamkan ucapan tahniah kepada semua pemenang pertandingan Khemah Terbaik, Motorhome Terbaik dan Foto Terbaik yang diadakan sepanjang festival.

Tambah beliau, kerjasama berterusan antara agensi kerajaan, komuniti setempat dan pihak berkepentingan amat penting bagi memastikan potensi pelancongan Lata Tembakah dapat dibangunkan secara mampan.

“Harapan kita agar Lata Tembakah terus menjadi khazanah alam dan aset pelancongan Hulu Besut yang dapat memberi manfaat kepada masyarakat setempat serta menjadi tarikan kepada pengunjung dari dalam dan luar Terengganu,” katanya



Tag :

Jalur Gemilang

Artikel Berkaitan