lightning-solid
Berita :
Lelaki Warga Indonesia Maut Motosikal Rempuh Pokok Tumbang Di Setiu
Lelaki Warga Indonesia Maut Motosikal Rempuh Pokok Tumbang Di Setiu
Ariss Alias
11 jam yang lepas
82

SETIU, 23 Ogos — Seorang lelaki warga Indonesia maut selepas motosikal yang ditungganginya merempuh sebatang pokok tumbang di Kilometer (KM) 42, Jalan Kampung Merang, Jalan Pantai Kuala Terengganu - Kota Bharu di sini, malam tadi. 

Ketua Polis Daerah Setiu, Supt. Zahril Asri Bin Mohd Zain berkata, Kaunter Aduan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Setiu menerima maklumat mengenai kejadian itu kira-kira 12:10 tengah malam. 

Beliau berkata, hasil siasatan awal mendapati kemalangan berlaku pada kira-kira 11:30 malam semasa mangsa yang merupakan pemastautin tetap di negara ini sedang dalam perjalanan dari Kuala Terengganu menghala ke Kampung Bari Besar, Setiu. 

"Apabila sampai di tempat kejadian, motosikal jenis Yamaha 135LC yang ditunggang Darman Khamis, 68 dipercayai telah melanggar sebatang pokok yang tumbang dari sebelah kanan dan melintangi jalan. 

"Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian dan mayatnya dihantar ke Unit Forensik Hospital Setiu untuk proses bedah siasat," katanya dalam kenyataan hari ini. 

Zahril Asri berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. 

Sehubungan itu, pihak polis menasihatkan pengguna jalan raya agar sentiasa peka serta mematuhi undang-undang dan peraturan demi keselamatan bersama. 

Beliau turut menggesa orang ramai atau saksi yang mempunyai maklumat berkaitan kemalangan berkenaan supaya tampil di Pejabat Trafik IPD Setiu atau menghubungi Pegawai Penyiasat, Insp. Thaufiq di talian 011-26069043 bagi membantu siasatan.


Tag :

Artikel Berkaitan