lightning-solid
Berita :
Mahasiswa Digalak Teroka Keusahawanan, Luaskan Pilihan Kerjaya
Mahasiswa Digalak Teroka Keusahawanan, Luaskan Pilihan Kerjaya
Amiirullah Mansor
13 jam yang lepas
3

DUNGUN, 16 Ogos – Mahasiswa Terengganu digalakkan supaya memperluaskan pilihan kerjaya dengan meneroka bidang keusahawanan dan ekonomi digital selain laluan pekerjaan konvensional selepas menamatkan pengajian.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Pembangunan Insan Negeri Terengganu, Dato’ Satiful Bahri Mamat, berkata dunia pekerjaan hari ini semakin berubah dan memerlukan generasi muda lebih bersedia melihat peluang dari sudut yang lebih luas.

“Peluang pekerjaan sektor awam memang ada, tetapi dalam masa yang sama kita mahu mahasiswa membuka minda kepada bidang lain yang juga mempunyai potensi besar.

“Perniagaan, keusahawanan dan perniagaan dalam talian antara ruang yang boleh diterokai oleh anak muda, lebih-lebih lagi dengan perkembangan teknologi sekarang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Perasmian Penutup Hi-Tea Bersama Mahasiswa Daerah Dungun 2026 di Ombak Beach Inn, Sura Tengah.

Menurut beliau, mahasiswa hari ini berhadapan dengan suasana yang sangat berbeza berbanding generasi terdahulu termasuk dari segi teknologi, corak pekerjaan dan perkembangan ekonomi digital.

Justeru katanya, kelayakan akademik perlu dilengkapkan dengan kemahiran lain seperti kepimpinan, komunikasi, kreativiti serta keberanian untuk mencipta peluang sendiri.

“Kita mahu mahasiswa bersedia dengan perubahan. Jangan hadkan diri kepada satu pilihan sahaja.

“Kalau ada bakat berniaga, kembangkan. Kalau ada kemahiran digital, manfaatkan. Yang penting mereka ada usaha, ilmu dan keberanian untuk membina masa depan,” katanya.

Satiful berkata, mahasiswa merupakan antara kelompok penting yang bakal menjadi ejen perubahan dan memimpin masyarakat dalam tempoh 10 hingga 20 tahun akan datang.

Beliau turut melihat platform Alumni Mahasiswa DUN sebagai ruang sesuai untuk graduan dan mahasiswa berkongsi pengalaman, jaringan kerjaya serta peluang dalam bidang keusahawanan.

Turut hadir ADUN Sura, Dr Tengku Muhammad Fakhruddin dan ADUN Bukit Besi, Ghazali Sulaiman.


Tag :

Artikel Berkaitan