Jalur Gemilang
Berita :
Mantan MB Terengganu Lancar Tafsir Al-Quran Lengkap 30 Juzuk
Mantan MB Terengganu Lancar Tafsir Al-Quran Lengkap 30 Juzuk
Husaif Mamat
1 jam yang lepas
79

CYBERJAYA, 17 Oktober – Bekas Menteri Besar Terengganu, Tan Sri Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang hari ini melancarkan Tafsir al-Tibyan, karya tafsir lengkap 30 juzuk yang dihimpunkan daripada kuliah pengajiannya selama beberapa dekad.

Dibukukan dalam 15 jilid, karya itu berasaskan pengajian tafsir beliau di Masjid Rusila, Marang, yang bermula pada tahun 1976.

Ahli Parlimen Marang itu berkata, penerbitan tafsir berkenaan merupakan usaha beliau meninggalkan warisan ilmu yang dapat dimanfaatkan oleh masyarakat selepas pemergiannya.

“Saya berfikir untuk meninggalkan warisan ilmu mengikut kemampuan saya kerana usia saya kini semakin lanjut.

“Jadi, sebelum saya meninggal dunia, saya mahu meninggalkan sesuatu yang bermanfaat untuk masyarakat,” katanya.

Daripada kuliah mingguan pada pagi Jumaat, kandungan pengajian berkenaan dirakam, dihimpunkan dan disusun secara berperingkat sebelum diterbitkan sebagai set lengkap.

Penghuraian dalam al-Tibyan merujuk kitab tafsir muktabar serta pandangan ulama terdahulu, di samping menghubungkan pengajaran ayat al-Quran dengan kehidupan masyarakat dan persoalan semasa.

Dalam ulasan yang diterbitkan semalam, bekas Mufti Wilayah Persekutuan, Dato’ Seri Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri menilai al-Tibyan sebagai antara karya tafsir berbahasa Melayu yang terbesar.

Menurut Dr. Zulkifli, kejayaan menghimpunkan tafsir keseluruhan 30 juzuk itu merupakan pencapaian yang wajar dihargai dalam perkembangan khazanah keilmuan Islam di Malaysia.

Beliau turut menekankan bahawa usaha menyempurnakan sebuah tafsir lengkap bukan perkara mudah, dengan sebahagian tokoh ulama tidak berkesempatan menyiapkan karya masing-masing sebelum meninggal dunia.

Penerbitan al-Tibyan menambah khazanah tafsir dalam tradisi ulama Nusantara, termasuk Tafsir Nur al-Ihsan karya Syeikh Muhammad Sa’id bin Umar yang merangkumi keseluruhan 30 juzuk dalam empat jilid menggunakan tulisan Jawi.

Turut menjadi rujukan masyarakat ialah Tafsir Pimpinan ar-Rahman oleh Syeikh Abdullah Basmeih, yang mengandungi terjemahan serta penjelasan al-Quran lengkap 30 juzuk dalam bahasa Melayu.

Di Indonesia, Buya HAMKA menghasilkan Tafsir al-Azhar yang lengkap 30 juzuk, dengan penghuraian yang menghubungkan ayat al-Quran dengan suasana masyarakat dan budaya Nusantara.

Dalam perkembangan lebih mutakhir, Dr. Zulkifli bersama panel penulis turut menghasilkan Tafsir al-Bayan, sebuah tafsir lengkap 30 juzuk yang melibatkan pensyarah dan pakar dalam bidang al-Quran, tafsir, hadis serta syariah.

Sebelum ini, Pengerusi Yayasan Permata Ummah, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi memaklumkan pada Julai 2025 bahawa kesemua 15 jilid al-Tibyan telah diserahkan kepada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), dengan sebahagian besarnya ketika itu sudah disunting.

Proses seterusnya, menurut Dr. Muhammad Khalil ketika itu, melibatkan penyerahan kepada Kementerian Dalam Negeri untuk kelulusan akhir sebelum diterbitkan.

Abdul Hadi pernah menerajui pentadbiran Terengganu dari 1999 hingga 2004 dan mendapat pendidikan di Universiti Islam Madinah serta Universiti al-Azhar, Mesir.


Tag :

Jalur Gemilang

Artikel Berkaitan