KEMAMAN, 13 November - Masjid perlu terus diperkasakan sebagai pusat pembangunan masyarakat yang bukan sahaja berperanan sebagai tempat ibadah, malah menjadi institusi pendidikan, penyatuan komuniti serta pusat rujukan dan khidmat kepada masyarakat.
Pemangku Raja Terengganu, Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan Zainal Abidin bertitah, fungsi masjid yang berkesan mampu memberikan pelbagai manfaat kepada masyarakat sekeliling termasuk dalam aspek pembentukan kerohanian, keilmuan serta pengislahan ekonomi dan sosial.

"Masjid yang benar-benar berfungsi akan memberikan banyak faedah dan manfaat kepada masyarakat di sekitarnya seperti dalam aspek pembentukan kerohanian, keilmuan dan juga sebagai pusat rujukan dan khidmat kepada masyarakat, bahkan fungsinya boleh dikembangkan kepada pengislahan ekonomi dan sosial.
"Apabila masyarakat merasakan bahawa masjid mampu membantu menyelesaikan keperluan dan permasalahan kehidupan mereka, maka hubungan mereka dengan masjid akan menjadi semakin erat," titah baginda.

Dalam pada itu, baginda menegaskan bahawa pengurusan masjid perlu dilaksanakan dengan penuh amanah, keikhlasan dan profesionalisme, selain memerlukan kerjasama erat antara komuniti dengan pihak pengurusan bagi memaksimumkan potensinya.
Titah baginda, masjid sejak dahulu hingga kini kekal berperanan sebagai pusat kehidupan masyarakat dan institusi pendidikan yang menggabungkan ibadah dengan pengajaran, selain menjadi agen penyatuan masyarakat serta membantu menyelesaikan urusan mereka.

Antara pendekatan yang boleh dilaksanakan termasuk penganjuran aktiviti sukan dan riadah, pengajian yang membincangkan isu semasa serta penyediaan kemudahan teknologi bagi memastikan masjid terus menjadi institusi yang dekat dengan hati generasi pelapis negara.