Jalur Gemilang
Berita :
Mekanik Direman Empat Hari Kes Sembunyi Kelahiran Bayi
Mekanik Direman Empat Hari Kes Sembunyi Kelahiran Bayi
Muhammad Amiruddin Zamri
2 jam yang lepas
42

DUNGUN, 28 September - Seorang mekanik direman selama empat hari sehingga Khamis ini, bagi membantu siasatan berhubung kes seorang pelajar perempuan berusia 19 tahun yang dipercayai menyembunyikan kelahiran bayi lelaki di sebuah asrama institusi pendidikan di daerah ini, pada 9 September lalu.

Perintah reman itu dikeluarkan Mahkamah Majistret Dungun hari ini selepas membenarkan permohonan polis bagi menjalankan siasatan lanjut terhadap lelaki berkenaan.

Ketua Polis Daerah Dungun, Superintenden Nik Ab Halim Nik Mat, berkata suspek yang berusia 24 tahun, dipercayai teman lelaki kepada pelajar berkenaan berasal dari Kampung Duyong Kecil, Kuala Terengganu.

Menurutnya, suspek ditahan di Jalan Pantai Teluk Lipat kira-kira jam 3.00 petang semalam.

“Pelajar perempuan berkenaan pula ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dungun kira-kira jam 6.00 petang semalam, namun dibebaskan dengan jaminan polis atas faktor kesihatan,” katanya.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati pelajar berkenaan dipercayai melahirkan bayi lelaki itu di dalam tandas asrama perempuan institusi pendidikan terbabit kira-kira jam 5.00 petang pada hari kejadian.

Jelasnya, pelajar itu dipercayai tidak mengetahui dirinya sedang mengandung sebelum melahirkan bayi berkenaan.

“Selepas melahirkan bayi itu, pelajar berkenaan menyimpannya di dalam loker miliknya tanpa pengetahuan rakan sebilik.

“Dia kemudian memaklumkan kejadian itu kepada teman lelakinya bagi mendapatkan bantuan untuk mengambil serta mengebumikan bayi berkenaan secara senyap,” katanya.

Nik Ab Halim memaklumkan, pelajar itu kemudiannya menghubungi pihak masjid berhampiran untuk mendapatkan bantuan bagi menguruskan pengebumian bayi berkenaan.

Bagaimanapun, katanya, pihak masjid memaklumkan perkara itu kepada pihak pengurusan institusi pendidikan terbabit sebelum polis menjalankan siasatan.

“Polis menjalankan siasatan mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran dengan cara menyembunyikan mayat,” katanya.

Siasatan lanjut masih dijalankan bagi melengkapkan siasatan berhubung kejadian berkenaan.


Tag :

Jalur Gemilang

Artikel Berkaitan