lightning-solid
Berita :
Minat Sejak Kecil Bawa Anak Terengganu ke Bidang Penerbangan
Minat Sejak Kecil Bawa Anak Terengganu ke Bidang Penerbangan
Adli Mohamad
1 jam yang lepas
51

NILAI, 29 Ogos – Minat mendalam terhadap dunia penerbangan sejak kecil akhirnya membawa anak kelahiran Kuala Berang, Muhammad Rayyan Johar, selangkah lebih dekat untuk merealisasikan impiannya membina kerjaya dalam industri berkenaan.

Rayyan kini mengikuti Program Juruteknik Pesawat Berlesen (CAAM Category A1) hasil kerjasama Kerajaan Negeri Terengganu dengan syarikat penerbangan Batik Air.

Lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) itu berkata, dia sangat gembira kerana kini sudah berada di landasan untuk mencapai cita-citanya, selain berpeluang menimba ilmu dan kemahiran dalam bidang penyelenggaraan pesawat.

“Saya mendapat tahu mengenai peluang ini melalui iklan di Facebook dan WhatsApp. Ibu saya juga ada berkongsi mengenai pengambilan tersebut dan daripada situ saya cuba memohon.

“Saya melihat bidang ini mempunyai masa depan kerana industri penerbangan memerlukan tenaga kerja yang memiliki kemahiran tinggi.

“Saya bersyukur kerana diberi peluang untuk belajar dan menjalani latihan dalam bidang ini. Sejak kecil, setiap kali melalui jalan berhampiran Lapangan Terbang Terengganu, saya selalu meminta ayah berhenti supaya dapat melihat kapal terbang.

“Daripada situlah timbul minat untuk mengetahui dengan lebih mendalam mengenai pesawat,” katanya.

Rayyan turut merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Negeri Terengganu, THRDC, Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) serta Yayasan Terengganu kerana membuka peluang kepada anak negeri daripada keluarga kurang berkemampuan mengikuti pengajian berkenaan.

“Saya mengambil kesempatan ini untuk merakamkan jutaan penghargaan kepada kerajaan negeri, THRDC, MAIDAM dan Yayasan Terengganu kerana memberi peluang kepada anak Terengganu seperti saya yang kurang berkemampuan untuk mengikuti pengajian yang saya kira memerlukan kos sangat tinggi,” katanya.

Dia berkata demikian ketika ditemui pemberita sempena Kunjungan Hormat Muhibbah Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Dato’ Ariffin Deraman ke Batik Air Training Centre di sini, kelmarin. 

Sementara itu, bagi Raudhatul Jannah Zauqi, 18, dari Bukit Payong, bidang penyelenggaraan pesawat yang sering didominasi lelaki bukan penghalang untuknya turut mencipta kejayaan.

Bekas pelajar Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Bera, Pahang itu berkata, dia tidak teragak-agak memohon selepas mengetahui mengenai tawaran kursus berkenaan menerusi Yayasan Terengganu.

“Melalui kerjasama antara Kerajaan Terengganu dengan Batik Air ini, ia menjadi peluang terbaik untuk saya mendalami bidang ini dengan bersungguh-sungguh.

“Saya memang berminat dengan perkara berkaitan penyelenggaraan kapal terbang walaupun latihan ini biasanya lebih sinonim dengan lelaki,” ujarnya.

Menurut Raudhatul, kerjasama antara Batik Air dan Kerajaan Negeri Terengganu turut menyediakan pelbagai kemudahan kepada peserta, termasuk elaun sebanyak RM2,000 sebulan yang disifatkannya sangat membantu sepanjang mengikuti pengajian selama dua tahun.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Yayasan Terengganu dan kerajaan negeri kerana memberi bantuan serta peluang kepada saya untuk membuktikan bahawa sebagai anak Terengganu, saya mampu berjaya dalam bidang ini.

“Saya juga ingin berterima kasih kepada ibu bapa kerana sentiasa membantu, memberi galakan dan dorongan,” ujarnya.

Dalam pada itu, Muhamad Khairi Idris, 33, dari Wakaf Mempelam turut bersyukur apabila diterima mengikuti kursus berkenaan, sekali gus membuktikan laluan ke bidang penerbangan tidak hanya terbuka kepada pelajar lepasan SPM.

Katanya, dia mengetahui mengenai peluang tersebut menerusi hebahan Yayasan Terengganu yang memaklumkan Batik Air memerlukan pelatih sebelum mengambil keputusan untuk memohon dan akhirnya berjaya melalui proses temu duga.

“Saya sebelum ini mempunyai pengalaman bekerja di Malaysia Airports, namun bukan dalam bidang yang saya minati kerana saya mempunyai kepakaran dalam bidang elektronik.

“Apabila ada peluang sebegini, sudah tentu saya tidak akan lepaskan,” katanya.


Tag :

Artikel Berkaitan