lightning-solid
Berita :
MPTN Perkukuh Usaha Pemuliharaan Biodiversiti
MPTN Perkukuh Usaha Pemuliharaan Biodiversiti
Noraini Jusoh
17 jam yang lepas
96

KUALA TERENGGANU, 13 Julai – Majlis Pengurusan Taman Negeri Terengganu (MPTN) terus memperkukuh usaha pemuliharaan biodiversiti negeri menerusi pendekatan berasaskan sains, kerjasama strategik serta penggunaan teknologi moden bagi memastikan pengurusan kawasan perlindungan dilaksanakan secara mampan.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris berkata, antaranya dengan penubuhan Jawatankuasa Biodiversiti MPTN yang keanggotaan melibatkan pelbagai agensi kerajaan, institusi penyelidikan dan universiti. 

“Jawatankuasa ini berperanan menyelaras, menilai serta memantau pelaksanaan program penyelidikan, konservasi dan pengurusan biodiversiti Taman Negeri Terengganu,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Besut, Mohd Husaimi Hussin pada Mesyuarat Kedua Penggal Persidangan Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-15 di Wisma Darul Iman, di sini, hari ini.

Katanya, MPTN turut mengamalkan pengurusan berasaskan sains dengan menjadikan dapatan penyelidikan sebagai asas penyediaan pelan pengurusan dan dasar konservasi. 

“Pendekatan itu diterapkan dalam program pemulihan ekosistem di Setiu Wetlands melalui kajian saintifik bagi memastikan spesies yang ditanam sesuai dengan keadaan habitat dan mempunyai kadar kelangsungan hidup yang tinggi,” katanya.

Selain itu Razali berkata, MPTN bekerjasama dengan Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) dalam memproses permit penyelidikan menerusi Sistem MyABS bagi memastikan semua penyelidikan mematuhi Akta Akses kepada Sumber Biologi dan Perkongsian Faedah 2017 (Akta 795). 

Penyelidikan yang diluluskan merangkumi inventori Harimau Malaya, kajian kelip-kelip, bakau, gelam dan orkid oleh institusi pengajian tinggi serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

“MPTN juga memastikan pematuhan sepenuhnya terhadap Protokol Nagoya bagi menjamin akses kepada sumber biologi dilaksanakan secara sah serta manfaat penggunaannya dikongsi secara adil, sekali gus melindungi biodiversiti negara daripada aktiviti biopirasi,”  jelasnya.

Tambah beliau, bagi memperkukuh penguatkuasaan Pasukan Pemantauan Khas Tasik Kenyir yang ditubuhkan sejak 1997 dijenamakan semula sebagai Kenyir Rangers pada 2025. 

“Pasukan yang dianggotai 80 renjer daripada 16 agensi itu turut menggunakan aplikasi SMART (Spatial Monitoring and Reporting Tool) dengan sokongan teknikal Panthera Malaysia dan Nature Based Solutions Sdn. Bhd. bagi meningkatkan keberkesanan rondaan dan pemantauan,” ujarnya.

Dalam aspek penyelidikan pula katanya, MPTN menjalin kerjasama dengan institusi tempatan dan antarabangsa termasuk FRIM, Cornell University, Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) dan Reef Check Malaysia. 

“Kerjasama itu meliputi kajian hidupan liar, penggunaan teknologi bioakustik serta pemantauan kesihatan terumbu karang di Pulau Bidong dan Pulau Rhu,” ujarnya.

Pada masa sama Razali berkata, MPTN memanfaatkan teknologi moden seperti dron, 20 unit kamera perangkap, kamera litar tertutup (CCTV), Sistem Maklumat Geografi (GIS) dan aplikasi SMART bagi memperkukuh pemantauan kawasan perlindungan secara masa nyata.

“Kerajaan negeri turut menggunakan peruntukan Ecological Fiscal Transfer for Biodiversity Conservation (EFT) bagi melaksanakan pelbagai program konservasi termasuk inventori flora dan fauna di Pulau Bidong, pemasangan sarang tiruan burung enggang di Tasik Kenyir serta pengukuhan pemantauan gajah menerusi penubuhan Basong Rangers.

“Inisiatif berkenaan selaras dengan Dasar Kepelbagaian Biologi Kebangsaan 2022–2030 dan komitmen Terengganu dalam memastikan pemuliharaan biodiversiti dilaksanakan secara berkesan, berasaskan sains dan memenuhi sasaran konservasi di peringkat nasional serta global,” ujarnya.


Tag :

Artikel Berkaitan