Berita :
Ops HRA 2026: Kemalangan Turun 15%, Kematian Naik 42.9%
Ops HRA 2026: Kemalangan Turun 15%, Kematian Naik 42.9%
Ahmad Zaeem Zainudin
17 jam yang lepas
199

KUALA TERENGGANU, 30 Mac - Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Terengganu merekodkan penurunan kadar kemalangan sebanyak 15 peratus sepanjang Ops Hari Raya Aidilfitri (HRA) 2026.

Walau bagaimanapun, Pengarah JPJ Terengganu, Mohd Zamri Samion berkata, kadar kematian meningkat sebanyak 42.9 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.

Menurutnya, peningkatan itu menunjukkan risiko di jalan raya kini lebih tertumpu kepada impak kemalangan yang lebih serius, walaupun jumlah kes berkurangan.

"Kalau dibandingkan tahun lalu, kita mencatatkan tujuh kematian, namun tahun ini meningkat kepada hampir 10 kes, sekali gus membawa kepada peningkatan indeks fataliti kepada 1.4%.

"Ini bermaksud jalan raya kini lebih berbahaya dari segi impak, bukan lagi kekerapan kemalangan," katanya dalam sidang media penutup Ops HRA 2026, hari ini.

Tambah beliau, antara faktor kemalangan melibatkan penunggang motorsikal yang dikenal pasti adalah hilang tumpuan dan kegagalan menjaga jarak selamat, termasuk kes ‘tailgating’.

"Kita ambil pada statistik yang sedia ada pada malam tadi, hampir tujuh adalah melibatkan motosikal saja. Itu pun adalah kebanyakannya melibatkan kemalangan sendiri," jelasnya kepada pemberita.

Sepanjang operasi dari 16 hingga 29 Mac itu, sebanyak 25,519 kenderaan diperiksa dengan 1,215 daripadanya diambil tindakan. Sebanyak 2,778 kesalahan turut direkodkan.

Antara kesalahan utama ialah gagal mematuhi isyarat lampu merah (196 kes), tidak memakai topi keledar (156 kes) serta memotong di garisan berkembar.

JPJ turut mengesan pelbagai kesalahan teknikal termasuk nombor pendaftaran tidak mengikut spesifikasi (172 kes), cermin gelap (74 kes) dan ubah suai kenderaan (36 kes).

Dalam tempoh sama, sebanyak 2,982 notis dikeluarkan termasuk 2,116 saman di bawah Notis P22, selain 44 kenderaan disita.

Mengulas lanjut, Mohd Zamri berkata pihaknya turut memberi tumpuan kepada operasi khas motosikal berikutan tahap risiko tinggi dalam kalangan penunggang.

Beliau turut mendedahkan terdapat kes penunggang bawah umur dan individu tanpa lesen yang masih berulang kali melakukan kesalahan.

"Ada kes ibu yang tidak mempunyai lesen membawa dua anak melalui laluan utama yang sibuk. Ini menunjukkan tahap kesedaran masih rendah dan sikap ambil mudah terhadap keselamatan jalan raya," katanya.

Sehubungan itu, beliau menyeru ibu bapa dan penjaga agar memainkan peranan dalam memantau penggunaan motosikal dalam kalangan anak-anak, khususnya golongan muda.

Dalam pada itu, Zamri menegaskan operasi penguatkuasaan akan terus dilaksanakan secara berkala sepanjang tahun, dengan penambahbaikan strategi termasuk memberi tumpuan lebih kepada kawasan luar bandar.

"Matlamat utama kita adalah untuk mengubah tingkah laku pengguna jalan raya, bukan hanya ketika musim perayaan, tetapi sepanjang masa," ujarnya.

Orang ramai digalakkan untuk menyalurkan aduan trafik melalui e-mel aduantrafik@jpj.gov.my atau aplikasi MyJPJ.


Tag :

Ketupat

Artikel Berkaitan