Jalur Gemilang
Berita :
Palestin Bukan Sekadar Isu Serantau, Libatkan Soal Keadilan dan Kemanusian
Palestin Bukan Sekadar Isu Serantau, Libatkan Soal Keadilan dan Kemanusian
Mastura Jamal Din
14 jam yang lepas
14

KUALA TERENGGANU, 16 Oktober– Penderitaan rakyat Palestin, khususnya di Gaza, bukan sekadar konflik serantau, sebaliknya menjadi ujian terhadap nilai kemanusiaan, keadilan dan kesedaran masyarakat antarabangsa dalam mempertahankan hak serta maruah manusia.

Pengarah Akademi Didik Ulama Amilin Terengganu (DUAT), Mohd Zulkhairi Ngah berkata, perjuangan rakyat Palestin selepas tiga tahun peristiwa Banjir Al-Aqsa (Al-Aqsa Flood) terus mengingatkan dunia tentang pentingnya kebebasan, keadilan dan solidariti antarabangsa.

Menurutnya, penderitaan rakyat Palestin menuntut masyarakat dunia bukan sekadar melahirkan simpati, malah menterjemahkan solidariti melalui tindakan bermakna termasuk bantuan kemanusiaan, advokasi, penyebaran ilmu dan tanggungjawab bersama.

“Palestin bukan sekadar isu serantau. Ia adalah persoalan kemanusiaan, keadilan dan hati nurani dunia,” katanya.

Beliau yang juga Pengarah Program Terengganu International Summit 2026 : Sambutan Tiga Tahun Taufan Al -Aqsa  berkata, persidangan itu menjadi platform penting untuk menyatukan pandangan, memperkukuh kefahaman serta merangka pendekatan lebih berkesan dalam menghadapi cabaran dunia Islam.

Katanya, usaha membina solidariti antarabangsa yang berterusan perlu diperkukuh menerusi perbincangan bernas, pertukaran pandangan dan kerjasama strategik antara pelbagai pihak.

Beliau berharap Terengganu International Summit 2026 dapat menghasilkan idea serta gagasan yang mampu diterjemahkan kepada tindakan nyata demi manfaat umat Islam dan masyarakat antarabangsa.

“Jadikan persidangan ini lebih daripada sekadar perhimpunan yang dipenuhi kata-kata, sebaliknya sebagai platform mencetuskan idea, gerakan memperjuangkan keadilan dan komitmen terhadap tindakan berterusan,” katanya.

Tambahnya, pertemuan itu juga diharap menjadi bukti bahawa nasib rakyat Palestin tidak pernah dilupakan, manakala perjuangan mempertahankan Masjid Al-Aqsa dan menegakkan keadilan akan terus disuarakan oleh generasi demi generasi.


Tag :

Jalur Gemilang

Artikel Berkaitan