Berita :
Pelaksanaan Manifesto Kerajaan Jadi Fokus Utama Melalui ICC-KGI
Pelaksanaan Manifesto Kerajaan Jadi Fokus Utama Melalui ICC-KGI
Rohayati Ripin
07 May 26
39

Oleh ; Media Kota Putera

BESUT, 9 Mei – Kerajaan negeri terus memperkukuhkan usaha pelaksanaan manifesto dan agenda pembangunan rakyat menerusi penubuhan Jawatankuasa Induk Pelaksanaan dan Penyelarasan Inisiatif Utama Kerajaan (ICC-KGI) bagi memastikan setiap dasar dan inisiatif dilaksanakan secara lebih tersusun, cekap serta berkesan.

Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman berkata, langkah tersebut membuktikan kesungguhan kerajaan dalam memastikan setiap janji yang terkandung dalam manifesto benar-benar diterjemahkan kepada manfaat yang boleh dirasai rakyat.

Menurut beliau, sesi perbincangan yang berlangsung di Wisma Darul Iman semalam memberi tumpuan khusus kepada pemantauan Pelan Induk Terengganu Sejahtera (PITAS 2030) sebagai hala tuju utama pembangunan negeri.

“Kerajaan mahu memastikan setiap inisiatif di bawah Belanjawan 2026 berada pada landasan yang betul dan dilaksanakan secara menyeluruh dan berkesan.

“Melalui ICC-KGI, setiap langkah praktikal akan diperincikan supaya pelaksanaan manifesto kerajaan dapat berjalan dengan lebih cekap, tersusun dan efektif,” katanya dalam laman sosialnya.

Beliau turut berharap segala usaha kerajaan negeri dalam merealisasikan manifesto akan dipermudahkan serta memberi impak positif kepada seluruh rakyat negeri ini.

"Sama-sama kita doakan agar segala usaha kerajaan negeri dalam menunaikan manifesto diberkati dan direalisasikan dengan jayanya. 

"Usaha ini diharapkan mampu membuahkan hasil yang dapat dirasai oleh setiap lapisan rakyat, sekali gus mengukuhkan kemajuan negeri melalui tadbir urus yang mampan dan berintegriti," tambah beliau.




Tag :

Ketupat

Artikel Berkaitan