Jalur Gemilang
Berita :
Pelaksanaan Syariah : ‘’Kuasa Adalah Amanah Tadbir Ummah,’’ – Dr Azman
Pelaksanaan Syariah : ‘’Kuasa Adalah Amanah Tadbir Ummah,’’ – Dr Azman
Hidayah Azlin
2 jam yang lepas
36

SETIU, 18 September – Golongan yang diberikan kuasa dan kedudukan di atas muka bumi diingatkan supaya sentiasa memikul tanggungjawab asasi mentadbir urusan ummat berlandaskan tuntutan agama, dan bukannya melihat ia sebagai satu keistimewaan semata-mata.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi Negeri Terengganu, Dato’ Dr. Azman Ibrahim menegaskan, pemegang amanah kepimpinan perlu memanfaatkan kuasa sementara yang dimilikinya untuk memartabatkan syiar Islam.

Beliau  menjelaskan bahawa ciri-ciri pemimpin yang diberikan keteguhan kedudukan oleh Allah SWT adalah mereka yang mendirikan sembahyang, menunaikan zakat, serta sentiasa menyeru ke arah kebaikan dan mencegah kemungkaran.

"Ayat ini mengingatkan kita tentang tanggungjawab asasi sebagai pemerintah yang diberikan kuasa sementara untuk mentadbir urusan ummat manusia di atas muka bumi," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Dialog Pelaksanaan Syariah Peringkat Daerah Setiu, di Dewan Pejabat Agama, baru-baru ini.

Program berkenaan telah menghimpunkan pelbagai elemen kepimpinan akar umbi dan pentadbiran tempatan, termasuk barisan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK), para Imam, Jawatankuasa Masjid, serta kakitangan jabatan kerajaan daerah Setiu.

Dalam pada itu, Dr. Azman turut menegaskan kepentingan peranan semua pihak yang hadir dalam memastikan agenda syariah dapat dilaksanakan dengan cemerlang di peringkat akar umbi.

"Tanggungjawab ini bukan terletak di bahu satu-satu pihak sahaja. Kerjasama antara JPKK, institusi masjid, dan jabatan kerajaan di daerah ini amat penting untuk kita pastikan pelaksanaan syariah dapat berjalan dengan berkesan.

"Segala usaha dan tadbir urus yang kita laksanakan di dunia ini akhirnya akan diserahkan dan dihitung di hadapan Allah SWT kerana kepada-Nyalah kembali segala urusan," tambah beliau lagi.


Tag :

Jalur Gemilang

Artikel Berkaitan