KUALA NERUS, 3 April - Presiden PAS, Tan Sri Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang menegaskan bahawa pelantikan Ketua Pembangkang baharu akan diputuskan melalui perbincangan menyeluruh antara semua parti pembangkang, termasuk dari Sabah dan Sarawak.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas kuliah dhuha sempena program Ijtima’ Antarabangsa Perpaduan Ummah Kali Ke-3 yang berlangsung di perkarangan Kompleks Sukan Negeri Terengganu pagi tadi.
Menurutnya, keputusan tersebut tidak akan dibuat secara tergesa-gesa kerana perlu mengambil kira pandangan semua ahli Parlimen pembangkang serta parti komponen dalam gabungan Perikatan Nasional.
“Ketua Pembangkang ini melibatkan tempoh yang panjang. Kita akan selesaikan dahulu urusan parti dan gabungan. Perbincangan akan dibuat dengan semua pihak, bukan PAS sahaja walaupun PAS merupakan parti terbesar,” katanya.
Beliau menjelaskan bahawa pemilihan calon perlu mendapat persetujuan bersama dan dijangka dimuktamadkan sebelum sidang Parlimen akan datang.
Dalam perkembangan lain, Tuan Guru turut mengkritik kerajaan semasa yang menurutnya gagal menangani pelbagai isu rakyat termasuk pengangguran, inflasi dan penghormatan terhadap konsep federalisme.
Mengulas kenyataan Khairi Jamaluddin yang melabel pembangkang sebagai tidak kompeten, beliau menyifatkan kerajaan lebih gagal dalam mengurus cabaran semasa negara.
Selain itu, beliau mencadangkan agar satu sidang khas Parlimen diadakan bagi membincangkan isu ekonomi global termasuk kenaikan harga minyak yang memberi kesan kepada rakyat.
“Kita semua berada dalam satu kapal. Isu ini bukan melibatkan pembangkang sahaja tetapi seluruh rakyat. Sebab itu perlu ada sidang khas Parlimen untuk bincang bersama,” ujarnya.
Menyentuh isu antarabangsa, beliau berpandangan konflik melibatkan Iran berpunca daripada tindakan agresif pihak luar dan berpotensi berpanjangan sekiranya tiada penyelesaian dicapai.
Beliau turut menegaskan bahawa perbezaan politik wajar diketepikan buat sementara waktu dalam usaha menangani cabaran besar yang sedang dihadapi negara ketika ini.
Tag :