KUALA TERENGGANU, 4 Jun - Pembinaan semula mercu tanda ikonik di Bukit Besar yang sebelum ini memaparkan tulisan "Allah Peliharakanlah Terengganu" dijadual bermula Julai ini dan dijangka siap sepenuhnya menjelang Disember 2026.
Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar Terengganu, Dato' Hanafiah Mat berkata projek itu akan dimulakan dengan kerja kerja penyediaan tapak dan struktur keluli oleh Jabatan Kerja Raya (JKR).
Beliau berkata segala keputusan akhir telah pun dibincangkan di Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) semalam.
Katanya, tulisan baharu yang akan dipaparkan pada mercu tanda berkenaan ialah "Ya Allah Berkatilah Terengganu" selepas mendapat kelulusan Mufti Negeri Terengganu.
"Kos pembinaan semula mercu tanda ini dianggarkan RM3.11 juta dengan pembiayaan melalui peruntukan kerajaan negeri dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC)," katanya ketika dihubungi hari ini.
Menurut Hanafiah, kerajaan negeri turut meneliti beberapa cadangan pembinaan termasuk penglibatan pihak swasta, namun memutuskan untuk tidak meneruskan cadangan daripada syarikat telekomunikasi CelcomDigi.
"Kita terpaksa menolak cadangan syarikat tersebut kerana terdapat terlalu banyak syarat yang dikenakan selain kos yang dicadangkan lebih tinggi dan tidak sesuai dengan keperluan kerajaan negeri," katanya.
Mercu tanda "Allah Peliharalah Terengganu" yang menjadi simbol dan identiti bandar raya Kuala Terengganu sejak 34 tahun lalu telah dirobohkan pada 13 Mei lepas selepas strukturnya didapati uzur dan tidak lagi selamat.
Hanafiah berkata hasil pemeriksaan mendapati struktur mercu tanda itu telah melebihi jangka hayat reka bentuk serta mengalami hakisan dan pengaratan yang ketara akibat pendedahan berterusan kepada aliran udara laut.
"Struktur tersebut terpaksa dirobohkan demi keselamatan orang ramai. Kerja-kerja penyelenggaraan dan menaik taraf sistem pencahayaan juga tidak dapat diteruskan kerana platform sedia ada didapati tidak lagi selamat untuk digunakan," katanya.
Beliau berkata pembinaan semula mercu tanda itu diharap dapat mengembalikan identiti ikonik Bukit Besar serta terus menjadi simbol kebanggaan rakyat Terengganu dan tarikan kepada pengunjung.
Tag :