Berita :
Peniaga Lemang Kijal Tarik Nafas Lega, Gerai Baharu Kurangkan Risiko Kemalangan
Peniaga Lemang Kijal Tarik Nafas Lega, Gerai Baharu Kurangkan Risiko Kemalangan
Hafiz Rosli
15 jam yang lepas
167

KEMAMAN, 18 Mac – Peniaga lemang di Kijal kini menarik nafas lega apabila dapat berniaga dengan lebih selamat dan tenang di Wilayah Lemang Kijal Zon Arah Utara.

Pengerusi Persatuan Lemang Kijal, Khazalina Khalid berkata, sebelum ini mereka sering berasa bimbang kerana gerai terletak di tepi jalan dan dikaitkan dengan risiko kemalangan.

“Dulu setiap kali berlaku kemalangan, kami rasa serba salah kerana orang mengaitkannya dengan gerai lemang yang boleh mengganggu tumpuan pemandu.

“Sekarang kami rasa lebih selamat dan tenang untuk berniaga kerana susun atur gerai yang lebih kemas serta jaraknya lebih jauh dari jalan raya, sekali gus memudahkan pelanggan untuk meletak kenderaan,” jelasnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Wilayah Lemang Kijal Zon Arah Utara bertempat di Kampung Bukit Anak Dara, Kijal semalam.

Majlis tersebut dirasmikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Negeri, Datuk Razali Idris.

Turut hadir, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kemaman, Zuwislan Awang dan Pengarah Pelancongan Negeri Terengganu, Hilman Hajijan.

Razali berkata projek ini adalah hasil rundingan sejak tahun 2024 sebelum diluluskan pelaksanaannya pada awal tahun 2025.

Katanya, inisiatif tersebut bertujuan menyusun semula gerai lemang agar lebih teratur, selamat dan selesa untuk peniaga serta pengunjung.

“Dulu gerai berada di tepi jalan dan berisiko tinggi. Kini, dengan lokasi baharu, peniaga dapat berniaga dalam keadaan lebih selamat.

“Projek ini dilaksanakan dengan kerjasama Majlis Perbandaran Kemaman dan akan terus ditambah baik dari semasa ke semasa,” katanya.

Beliau berharap agar semua peniaga supaya menjaga kebersihan, mengekalkan kualiti lemang serta sentiasa bersikap mesra pelanggan.



Tag :

Ketupat

Artikel Berkaitan