Jalur Gemilang
Berita :
Penilaian Menyeluruh F1 Grand Prix Bahrain 2026 Bagi Keseragaman Penganjuran Berskala Besar
Penilaian Menyeluruh F1 Grand Prix Bahrain 2026 Bagi Keseragaman Penganjuran Berskala Besar
Muhammad Afiq Fahmi Ahmad Faris
12 jam yang lepas
56

KUALA LUMPUR, 18 Oktober– Ahli Parlimen Dungun, Dato’ Wan Hassan Mohd Ramli, membangkitkan persoalan kepada Menteri Belia dan Sukan berhubung penilaian kerajaan terhadap keseluruhan penganjuran perlumbaan Formula 1 Grand Prix Gulf Air Bahrain 2026 di Litar Antarabangsa Sepang, khususnya dari aspek keberkesanan penganjuran, kesiapsiagaan operasi, koordinasi antara pihak berkepentingan serta penambahbaikan yang dikenal pasti.

Dalam soalannya, beliau meminta penjelasan mengenai penilaian menyeluruh kerajaan terhadap penganjuran acara sukan permotoran bertaraf antarabangsa itu bagi memastikan penganjuran acara berskala besar pada masa hadapan dapat dilaksanakan dengan lebih teratur dan berkesan.

Menjawab persoalan tersebut, Menteri Belia dan Sukan, Mohammed Taufiq Johari menjelaskan bahawa penganjuran perlumbaan berkenaan merupakan satu cabaran besar memandangkan pihak penganjur hanya mempunyai tempoh kira-kira dua bulan untuk membuat persiapan, sedangkan Malaysia kali terakhir menganjurkan perlumbaan Formula 1 pada tahun 2017.

Menurut beliau, kejayaan pelaksanaan acara tersebut memerlukan kerjasama menyeluruh menerusi pendekatan whole-of-government, melibatkan Jawatankuasa Induk yang dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha Negara, Jawatankuasa Teknikal di bawah Kementerian Belia dan Sukan serta lapan jawatankuasa kecil yang mengendalikan pelbagai aspek termasuk protokol dan keselamatan.

Menteri turut merakamkan penghargaan kepada kira-kira 532 orang sukarelawan, hampir 1,000 individu yang terlibat serta semua pihak yang menjayakan penganjuran tersebut.

Dari segi sambutan, beliau memaklumkan bahawa acara selama tiga hari itu merekodkan kehadiran sekitar 261,000 pengunjung, manakala penjualan tiket melebihi 100,000 tiket.

Kerajaan turut memperkenalkan Tiket MADANI pada harga RM200 bagi pas tiga hari sebagai usaha memperluas akses rakyat tempatan untuk menyaksikan perlumbaan tersebut.

Inisiatif Litar Rasa MADANI pula menyediakan 40 gerai kepada usahawan tempatan dengan kerjasama Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), yang mencatatkan nilai jualan melebihi RM550,000.

Selain itu, penganjuran tersebut turut dikaitkan dengan manfaat kepada sektor pelancongan negara, termasuk promosi Malaysia melalui kandungan video oleh pasukan pelumba, peningkatan kemasukan pelawat antarabangsa serta permintaan penginapan hotel yang dilaporkan meningkat sehingga tiga kali ganda dalam tempoh seminggu berkenaan.

Mengulas aspek penambahbaikan, Taufiq menegaskan bahawa kerajaan komited untuk mempertingkatkan pengurusan operasi acara sukan antarabangsa, khususnya dari segi penyelarasan pengangkutan awam, pengurusan aliran trafik serta penyediaan kemudahan dan keselesaan penonton.

Beliau turut menyifatkan nyanyian dua lagu kebangsaan dalam satu acara Formula 1 sebagai satu detik bersejarah, yang menurutnya mencerminkan hubungan diplomatik antara negara yang terlibat.

Dalam pada itu, kerajaan berharap penganjuran acara sukan permotoran antarabangsa dapat diteruskan pada masa hadapan. 

Tumpuan turut diberikan kepada perlumbaan MotoGP yang dijadual berlangsung pada 30 Oktober hingga 1 November 2026 di Litar Antarabangsa Sepang, termasuk peluang mengetengahkan bakat muda negara seperti Hakim Danish dan Qabil Irfan.

Persoalan yang dibangkitkan oleh Ahli Parlimen Dungun ini menumpukan kepada keperluan menilai bukan sahaja kejayaan penganjuran dari segi kehadiran pengunjung dan impak ekonomi, malah keberkesanan koordinasi, kesiapsiagaan operasi serta tindakan susulan bagi memastikan pengalaman penonton dan pengurusan acara antarabangsa terus ditambah baik.


Tag :

Jalur Gemilang

Artikel Berkaitan