KUALA TERENGGANU, 30 Mac -Satu pertandingan berprestij, Pertandingan Busana Melayu Terbaik bakal dianjurkan pada 3 April 2026 (Jumaat), jam 2.30 petang bertempat di Pekarangan Kompleks Sukan Negeri, Kuala Nerus.
Program ini diadakan sempena Ijtimak Antarabangsa Perpaduan Ummah dan Himpunan Alam Melayu 2026, dengan tujuan mengangkat keindahan dan warisan busana tradisional Melayu dalam kalangan masyarakat pelbagai lapisan usia.
Pertandingan ini terbuka kepada kategori lelaki dan wanita, serta menjanjikan pelbagai hadiah menarik kepada para pemenang.
Selain menjadi platform memperagakan pakaian tradisional, program ini juga dilihat sebagai usaha memupuk rasa bangga terhadap identiti budaya Melayu yang kaya dengan nilai estetika dan sejarah.
Justeru itu, orang ramai dijemput hadir bagi memeriahkan program tersebut, di samping menyokong usaha memartabatkan identiti budaya bangsa.
“Jom kita pakai busana Melayu,” menjadi seruan penganjur bagi menggalakkan penyertaan dan kehadiran masyarakat dalam acara berkenaan.

Bagi kategori pertama iaitu kanak-kanak berumur 5 hingga 6 tahun, seramai 300 peserta disasarkan dengan pecahan 200 peserta daripada PASTI yang telah selesai mendaftar, 50 daripada tadika melalui pendaftaran awal dan 50 peserta lagi melalui pendaftaran pada hari program.
Bagi kategori kedua melibatkan kanak-kanak berumur 7 hingga 8 tahun dengan jumlah sasaran seramai 200 peserta, terdiri daripada 150 murid sekolah rendah dan 50 peserta walk-in pada hari pertandingan.
Orang ramai yang berminat boleh mendapatkan maklumat lanjut dengan menghubungi urus setia program, Cikgu Noriah di talian 013-660 7435.
Tag :