KUALA TERENGGANU, 20 Julai- Lebih 100 pemain dan keluarga Peteh Football Academy (Peteh FA) berkumpul bagi menyaksikan tayangan skrin besar perlawanan akhir Piala Dunia 2026 antara Sepanyol dan Argentina, semalam.
Acara yang diadakan dengan sokongan Kelab Wartawan Media Terengganu (KAWAT) itu dimeriahkan seawal jam 9.00 malam dengan pertandingan dan aktiviti seperti sepakan penalti, pertandingan mewarna, 'shooting' bola jaring dan pertandingan e-football.

"Peteh ini memang akademi bola sepak, jadi lebih baik biar mereka (pemain) menonton bersama ibu bapa serta berada dalam kawalan kita.

"Ia sebenarnya bukan sekadar mengeratkan hubungan sesama ahli, tayangan sebegini jadi medium pendidikan tentang pengetahuan bola sepak mereka.
"Aktiviti ini penting sebab kita akan tanya dan jelaskan tentang teknikal dan taktikal dalam perlawanan yang berlangsung", katanya ketika ditemui dalam acara berkenaan semalam.

Ditubuhkan pada 2016, Peteh FA kini memiliki 160 pemain melibatkan beberapa kategori peringkat umur serta aktif bersaing dalam kejohanan dalam dan luar negeri.
Antara pencapaian terbaik di luar ialah juara keseluruhan dalam Kejohanan Piala Manjung, Perak 2025 apabila mereka memenangi kategori bawah-12 tahun (U12), U14 dan U10.
