lightning-solid
Berita :
Portal Jodoh Terengganu Berjaya Satukan Pasangan, 10 Lagi Dijangka Kahwin Tahun Ini
Portal Jodoh Terengganu Berjaya Satukan Pasangan, 10 Lagi Dijangka Kahwin Tahun Ini
Husaif Mamat
10 jam yang lepas
219

KUALA TERENGGANU, 15 Julai – Portal Jodoh Darul Iman yang diperkenalkan Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT) berjaya menyatukan satu pasangan dalam ikatan perkahwinan sejak dilancarkan pada 8 Ogos 2025.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Maliaman Kassim berkata, kira-kira 10 pasangan lagi dijangka melangsungkan perkahwinan menerusi inisiatif tersebut sepanjang tahun ini.

Menurutnya, portal berkenaan merupakan antara usaha kerajaan negeri menggalakkan pembentukan keluarga dan meningkatkan kadar kelahiran bagi memperlahankan proses penuaan penduduk.

“Sesebuah negeri atau negara lazimnya dikategorikan sebagai masyarakat menua apabila 15 peratus daripada penduduknya terdiri daripada warga emas.

“Selain portal jodoh, kerajaan negeri turut melaksanakan program perkahwinan perdana bagi membantu pasangan yang berdepan kekangan kewangan untuk berkahwin dan membina keluarga,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu kelmarin. 

Maliaman berkata, kerajaan negeri pada masa sama memperkukuh kebajikan warga emas melalui dasar negeri berkebajikan, jaringan keselamatan sosial dan pelaksanaan pelbagai program khusus.

Katanya, Pusat Aktiviti Warga Emas beroperasi di lapan daerah dengan setiap pusat menerima geran tahunan RM50,000 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

“JKM turut menyediakan Program Khidmat Bantu di Rumah kepada warga emas yang terlantar atau memerlukan bantuan untuk menguruskan kehidupan harian.

“Penjagaan secara institusi pula disediakan di Rumah Ehsan Dungun, Bandar Al-Muktafi Billah Shah, untuk pesakit terlantar, golongan daif dan mereka yang tidak mempunyai waris.

“Rumah Ehsan Dungun mampu menempatkan kira-kira 100 penghuni pada satu-satu masa,” ujarnya.

Mengulas usaha memperkukuh peranan institusi keluarga, masjid, komuniti dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), beliau berkata, kerajaan sedang merangka Pelan Induk Warga Emas Sejahtera Terengganu sebagai kerangka tindakan menyeluruh bagi menghadapi peningkatan jumlah warga emas.

Menurutnya, pelan itu merangkumi aspek kesihatan, akses kepada perkhidmatan mesra warga emas, penjagaan sosial, sokongan komuniti, perlindungan pendapatan dan kesejahteraan ekonomi.

“Aktiviti khusus melalui Pusat Aktiviti Warga Emas akan terus diperkasakan, termasuk program riadah, kuliah agama di pusat dan masjid serta sesi temu mesra sesama warga emas,” katanya.



Tag :

Artikel Berkaitan