Berita :
Potensi 2 Juta Komuniti Muslim India Sebagai Pemacu Dakwah di Malaysia - Zakir Naik
Potensi 2 Juta Komuniti Muslim India Sebagai Pemacu Dakwah di Malaysia - Zakir Naik
Ahmad Zaeem Zainudin
04 Apr 26
11

KUALA TERENGGANU, 4 April - Ketika berucap di hadapan khalayak besar pada Ijtimak Antarabangsa Perpaduan Ummah dan Alam Melayu Kali Kelima 2026, Prof. Dr. Zakir Naik menekankan potensi besar komuniti Muslim India di Malaysia sebagai jambatan utama dalam usaha dakwah antara agama.

Dalam ucapan beliau bertajuk 'Peranan Muslim India dalam Dakwah di Alam Melayu', Dr. Zakir mendedahkan kewujudan jurang ketara antara rekod rasmi dan realiti demografi sebenar komuniti tersebut.

Menurutnya, carian umum mungkin menunjukkan hanya sekitar beberapa ratus ribu Muslim India di negara ini, namun angka sebenar jauh lebih besar apabila mengambil kira Tamil Muslim yang berdaftar sebagai bumiputera serta keluarga berbilang generasi yang telah berasimilasi dengan budaya tempatan.

"Saya telah sebutkan topik ini, Muslim India di Malaysia. Jika anda cari di Google, ia akan menunjukkan hanya sekitar beberapa ratus ribu, itu berdasarkan kad pengenalan.

"Namun jika ditanya kepada AI, ia menyatakan terdapat ramai Tamil Muslim yang merupakan rakyat Malaysia tetapi berdaftar sebagai bumiputera. Jumlah mereka melebihi satu juta, ada yang kata 1.1 juta, ada yang kata 1.2 juta.

"Ditambah pula dengan mereka yang berkahwin dengan rakyat Malaysia serta generasi ketiga dan keempat, keseluruhannya jumlah Muslim berketurunan India di Malaysia boleh mencecah antara 1.5 hingga 2 juta, iaitu sekitar 4 hingga 5 peratus daripada populasi Malaysia," katanya.

Tokoh penceramah itu berhujah bahawa demografi ini berada dalam kedudukan unik untuk memimpin usaha dakwah kerana berkongsi persamaan budaya dan bahasa.

Beliau menjelaskan bahawa pendekatan dakwah lebih berkesan apabila disampaikan oleh individu daripada latar belakang yang sama dengan sasaran dakwah.

Dr. Zakir turut menegaskan bahawa dakwah bukan sekadar pilihan, sebaliknya merupakan kewajipan agama bagi setiap Muslim. Dengan memetik Surah Al-Asr, beliau mengingatkan bahawa mengajak kepada kebenaran adalah salah satu daripada empat syarat utama untuk menuju ke syurga.

"Kamu mungkin seorang Muslim yang sangat baik, tetapi jika tidak berdakwah, kamu tidak akan masuk syurga," katanya, menekankan kepentingan peranan umat Islam dalam melaksanakan tanggungjawab tersebut.

Ucapan beliau turut diselitkan dengan seruan kepada komuniti Muslim India agar memanfaatkan peranan serta kedudukan mereka sebagai jambatan kepada kaum India dengan menjadi 'kunci utama' dalam membina keamanan dan kefahaman di Malaysia.

Dengan memberi tumpuan kepada persamaan dalam kitab-kitab agama utama dunia, beliau menegaskan bahawa kejayaan dakwah terletak pada usaha menonjolkan persamaan berbanding perbezaan.

Asas pendekatan ini, katanya, bersandarkan firman Allah dalam Surah Ali Imran (3:64) yang menyeru kepada titik persamaan antara agama.

"Jika daripada 10 perkara itu, lima perkara adalah sama, mari kita berpegang kepada lima perkara tersebut. Perkara yang berbeza, kita boleh bincangkan kemudian," jelasnya.

Menurut beliau, kitab-kitab utama seperti Bible dan Veda Hindu turut mengandungi asas kepercayaan yang sama, termasuk konsep keesaan Tuhan tanpa gambaran fizikal.

Beliau juga mendakwa bahawa kedatangan Nabi Muhammad sebagai nabi terakhir turut disebut dalam kitab-kitab tersebut.

Selain itu, beliau menyatakan bahawa amalan ibadah seperti sujud dalam Islam mempunyai persamaan dengan amalan dalam tradisi agama lain, di samping nilai moral seperti larangan alkohol, daging babi serta tuntutan berpakaian sopan yang wujud dalam pelbagai agama.

Dr. Zakir menegaskan bahawa matlamat utama pendekatan ini adalah untuk menawan hati melalui hujah logik dan sikap hormat.

"Al-Quran mengajar supaya membalas dengan sesuatu yang lebih baik. Jangan balas kejahatan dengan kejahatan.

"Apabila berdakwah kepada bukan Muslim, jangan cuba mengalahkan mereka. Cuba menangi hati mereka. Kita sebagai pendakwah, ini bukan perlawanan tinju. Kita tidak perlu mengalahkan mereka, tetapi menawan hati mereka. Inilah prinsip utama dakwah," katanya.

Beliau turut berkongsi pengalaman di India apabila bukan Muslim mendakwa mereka memahami agama sendiri dengan lebih mendalam selepas mendengar penjelasan mengenai persamaan dalam kitab-kitab agama.

Ucapan tersebut diakhiri dengan gesaan agar umat Islam mendalami kitab-kitab ini bagi memperkukuh peranan sebagai duta keamanan.

"Jika kamu menguasai jawapan-jawapan ini, mungkin tidak semua dapat diyakinkan, tetapi kebanyakan boleh diyakinkan," ujarnya.


Ketupat

Artikel Berkaitan