KUALA TERENGGANU, 20 November - Projek menaik taraf sistem pengairan tanaman padi di kawasan Telemung, Hulu Terengganu yang terbengkalai selepas kontrak asal ditamatkan pada Disember 2023, dijangka diteruskan menerusi pelantikan kontraktor baharu pada Januari tahun depan.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri, Dato Dr. Azman Ibrahim berkata, proses penyediaan dokumen dan pembetulan bagi membolehkan projek berkenaan ditender semula sedang dilaksanakan oleh Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM).
Katanya, Lembaga Perolehan KPKM dijadual bermesyuarat pada 24 November ini dengan jangkaan Surat Setuju Terima (SST) dapat dikeluarkan pada Januari 2027.
Menurutnya, projek yang dimulakan pada 2019 itu sepatutnya disiapkan pada Mei 2021 sebelum diberikan lanjutan masa (EOT) sehingga 2023, namun gagal diselesaikan mengikut tempoh ditetapkan.
"Kontrak projek berkenaan ditamatkan pada Disember 2023 dengan kemajuan fizikal ketika itu mencapai kira-kira 88 peratus, bermakna hanya sekitar 11 peratus baki kerja yang belum disiapkan.
"Kita mengakui proses untuk melaksanakan tender semula mengambil masa agak lama dan sudah tentu kita tidak gembira dengan kelewatan tersebut," jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan ADUN Telemong, Mohd Zawawi Ismail yang ingin mengetahui perkembangan projek pengairan tanaman padi di kawasan berkenaan pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu di Wisma Darul Iman, di sini, semalam.
Tambahnya, projek berkenaan berada di bawah tanggungjawab Bahagian Pengairan dan Saliran Pertanian (BPSP), KPKM sebagai pegawai penguasa, manakala Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Negeri Terengganu bertindak sebagai agensi pelaksana.
Dr Azman berkata, sistem pengairan yang lengkap dan sempurna amat penting bagi memastikan bekalan air mencukupi untuk membolehkan aktiviti penanaman padi dijalankan secara berterusan.
Dalam pada itu, beliau berkata, kadar sara diri (SSR) makanan Terengganu bagi beberapa komoditi utama masih belum mencukupi untuk menampung keseluruhan permintaan penduduk negeri ini.
Menurutnya, pengeluaran ayam di Terengganu sebanyak 42,956 metrik tan berbanding permintaan 56,110 metrik tan, sekali gus mencatatkan SSR melebihi 76 peratus.
Bagi daging lembu pula, pengeluaran sebanyak 2,800 metrik tan berbanding permintaan 7,600 metrik tan, menjadikan SSR sekitar 36 peratus.
"Lebih membimbangkan, pengeluaran daging kambing hanya sekitar 83 metrik tan berbanding permintaan kira-kira 1,246 metrik tan, menyebabkan SSR komoditi itu berada pada paras 6.7 peratus.
"Selain itu, SSR beras berada pada sekitar 48 peratus, buah-buahan 41 peratus, manakala kelapa mencatatkan 63 peratus," katanya.
Beliau berkata, peningkatan pengeluaran hasil pertanian tempatan perlu diberi perhatian bagi mengurangkan kebergantungan kepada bekalan dari luar sekali gus memastikan keterjaminan makanan negeri terus terpelihara.