Jalur Gemilang
Berita :
Terengganu FC Tewas Lagi
Terengganu FC Tewas Lagi
Mohd Irsyadi Abu Bakar
2 jam yang lepas
19

KUALA NERUS, 20 November - Terengganu FC gagal menamatkan kemarau kemenangan apabila tewas 1-2 kepada DPMM FC pada perlawanan ketujuh Liga Super Malaysia 2026, malam ini.

Melayan kunjungan pasukan dari Brunei itu di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA),  skuad kendalian Nafuzi Zain tampil dengan corak permainan bertahan bagi mengatasi lawan.

Seawal perlawanan, pasukan pelawat lebih banyak menguasai bola dan melakukan ancaman ke kubu tuan rumah.

Terengganu FC akhirnya berjaya memecahkan kebuntuan jaringan setelah Manuel Ott dijatuhkan penjaga gol dalam kotak penalti pada minit ke-38.

Victor Ruiz menyempurnakan sepakan penalti untuk Sang Penyu mendahului pada minit ke-41.

Keputusan kekal sehingga tamat separuh masa pertama.

Memasuki babak kedua, DPMM FC tidak menunggu lama untuk menyamakan kedudukan.
Hanya tiga minit setelah permainan bersambung, Dalberto Belo yang menerima lorongan Miguel Oliveira menjaringkan gol penyamaan untuk mengikat kedudukan 1-1.

Tuan rumah menggandakan serangan dengan percubaan Mateus Gustavo yang tepat ke dakapan penjaga gol pada minit ke-73.

Dua minit berselang, percubaan Muhammad Ubaidullah pula tersasar ke sisi gawang.

Pada minit ke-80, Dalberto sekali lagi menunjukkan kemampuannya apabila melakukan larian solo dari kawasan tenagh padang sebelum menewaskan Syed Muhammad Nasrulhaq untuk gol kedua DPMM FC.
Jaringan itu sekali gus menjadikan pasukan pelawat muncul pemenang dalam aksi hujan lebat di Gong Badak yang dihadiri sekitar 700 penyokong tuan rumah.


Tag :

Jalur Gemilang

Artikel Berkaitan