lightning-solid
Berita :
Projek Wilayah Lemang Kijal Beri Nafas Baharu Buat Pengusaha
Projek Wilayah Lemang Kijal Beri Nafas Baharu Buat Pengusaha
Muhammad Fakhruddin Bin Nordin
18 jam yang lepas
91

KEMAMAN, 15 Julai – Tapak Wilayah Lemang Kijal Zon Selatan yang bakal menempatkan 16 pengusaha lemang dikenal pasti menerusi lawatan tapak sebagai persediaan merealisasikan pembangunan pusat jualan baharu di Kijal.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Negeri, Datuk Razali Idris berkata, pembangunan itu merupakan satu lagi berita baik buat warga Kijal kerana bakal menyediakan ruang niaga yang lebih selesa dan tersusun kepada pengusaha lemang tempatan.

"Insya-Allah, Tapak Lemang Kijal Wilayah Selatan yang bakal menempatkan 16 pengusaha lemang akan dibina dalam masa terdekat.

"Inisiatif ini bukan sahaja menyediakan ruang niaga yang lebih selesa dan tersusun kepada para usahawan tempatan, malah menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi setempat serta memperkukuhkan lagi identiti Kijal sebagai destinasi lemang yang terkenal," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas mengadakan lawatan tapak bagi meninjau lokasi cadangan pembangunan Wilayah Lemang Kijal Zon Selatan, baru-baru ini.

Tambahnya, kerajaan negeri berharap segala urusan berkaitan projek tersebut dipermudahkan agar ia dapat direalisasikan mengikut perancangan demi manfaat para peniaga serta masyarakat setempat.

Gerai Lemang Kijal mula berkembang sekitar awal tahun 1990-an apabila penduduk setempat menjalankan perusahaan lemang secara kecil-kecilan di bahu Jalan Persekutuan Kuala Terengganu-Kuantan. 

Sambutan yang menggalakkan daripada pengguna jalan raya menjadikan perusahaan itu terus berkembang sehingga Kijal dikenali sebagai destinasi "lemang tanpa musim", dengan pengusaha beroperasi sepanjang tahun bagi memenuhi permintaan pelanggan dari dalam dan luar Terengganu.

Selepas lebih tiga dekad, kebanyakan gerai kayu sedia ada didapati semakin uzur serta kurang selesa, di samping berdepan isu keselamatan dan kekurangan kemudahan seperti kawasan parkir. 

Sehubungan itu, Razali Idris memperkenalkan Projek Wilayah Lemang Kijal yang merangkumi Zon Utara dan Zon Selatan sebagai langkah menaik taraf infrastruktur gerai, menyediakan kemudahan yang lebih sistematik serta memperkukuhkan lagi Kijal sebagai destinasi pelancongan makanan (food tourism).

Projek Wilayah Lemang Kijal Zon Selatan yang bakal menempatkan 16 pengusaha dijangka menjadi kesinambungan kepada pembangunan Wilayah Lemang Kijal Zon Utara, sekaligus memastikan warisan perusahaan lemang yang menjadi identiti Kijal terus dipelihara dan diperkasakan demi manfaat generasi akan datang.




Tag :

Artikel Berkaitan