Jalur Gemilang
Berita :
Razali Idris Sokong Teguran Dr. Sam, Desak Pembangunan Rakyat Diutamakan
Razali Idris Sokong Teguran Dr. Sam, Desak Pembangunan Rakyat Diutamakan
Muhammad Fakhruddin Bin Nordin
8 jam yang lepas
210

KEMAMAN, 20 Oktober – Teguran Ahli Parlimen Kemaman, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berhubung peningkatan bayaran khidmat hutang negara yang mengatasi pertambahan peruntukan pembangunan perlu diberi perhatian serius bagi memastikan kepentingan rakyat terus menjadi keutamaan kerajaan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijal, Dato’ Razali Idris berkata, pengurusan kewangan negara bukan sekadar dinilai berdasarkan usaha mengurangkan defisit, sebaliknya perlu mengambil kira sejauh mana perbelanjaan kerajaan mampu memberikan manfaat secara langsung kepada rakyat.

Menurutnya, peningkatan komitmen pembayaran hutang yang lebih besar berbanding pertambahan peruntukan pembangunan menimbulkan persoalan mengenai keupayaan kerajaan mengekalkan momentum pembangunan, khususnya dalam penyediaan kemudahan asas dan perkhidmatan awam.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Ahli Parlimen Kemaman itu menerusi Facebook beliau, susulan perbahasan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat baru-baru ini.

Dalam perbahasan tersebut, Ahmad Samsuri membangkitkan peningkatan bayaran khidmat hutang sebanyak RM3.7 bilion, daripada RM57.3 bilion kepada RM61 bilion, berbanding pertambahan peruntukan pembangunan sebanyak RM2 bilion, daripada RM81 bilion kepada RM83 bilion.

Ahmad Samsuri turut memberi amaran bahawa peningkatan komitmen hutang boleh mengehadkan ruang fiskal kerajaan untuk membiayai pembinaan sekolah dan hospital, menaik taraf jalan raya, memperluas bekalan air bersih serta meningkatkan kemudahan awam.

Mengulas perkara itu, Razali berkata kerajaan perlu mengambil langkah lebih berhemat dalam mengurus kewangan negara, termasuk mengawal hutang dan mengurangkan pembaziran supaya peruntukan yang tersedia dapat dimanfaatkan secara optimum.

“Kerajaan bukan sekadar perlu mengurangkan defisit, tetapi mesti memastikan setiap ringgit dibelanjakan memberi manfaat kepada rakyat.

“Pembangunan yang menyentuh kehidupan rakyat tidak boleh diketepikan hanya kerana tekanan komitmen kewangan kerajaan semakin meningkat,” katanya.

Beliau menggariskan tiga keutamaan yang perlu diberikan perhatian, iaitu memperkukuh disiplin pengurusan kewangan negara, mengutamakan pembangunan kemudahan asas rakyat serta melaksanakan pengagihan peruntukan yang lebih adil berdasarkan keperluan sebenar setiap negeri.

Dalam pada itu, Razali turut menyokong cadangan Formula Penyamarataan Fiskal dan Pembangunan Antara Negeri yang dibangkitkan Ahmad Samsuri bagi merapatkan jurang pembangunan antara negeri.

Menurutnya, formula berkenaan wajar mengambil kira keperluan kewangan negeri, kemampuan menjana hasil sendiri, jurang infrastruktur serta perbezaan kos pembangunan dan penyampaian perkhidmatan awam.

Katanya, pendekatan itu penting bagi memastikan negeri seperti Terengganu mendapat peruntukan yang bersesuaian dengan keperluan pembangunan dan tanggungjawab menyediakan kemudahan kepada rakyat.

“Hutang perlu diurus, pembangunan mesti diteruskan dan hak rakyat serta negeri tidak boleh dipinggirkan.

“Kita mahu pengurusan kewangan yang mampan, tetapi pada masa sama pembangunan mesti dirasai rakyat dan jurang antara negeri perlu ditangani secara adil,” katanya.


Tag :

Jalur Gemilang

Artikel Berkaitan