KUANTAN, 13 April - Fenomena luar biasa kehadiran sotong jarum hingga ke pesisiran pantai Terengganu ketika ini bukan sahaja menggembirakan 'kaki' candat, malah turut merancakkan suasana kawasan pantai di beberapa daerah.
Berdasarkan tinjauan, beberapa daerah dikenal pasti menjadi lokasi persinggahan sotong jarum di pesisir pantai Terengganu, meliputi pantai di daerah Setiu, Kuala Nerus, Kuala Terengganu, Marang, Dungun hingga ke Kemaman.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Dato' Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, situasi tersebut merupakan rezeki melimpah ruah yang wajar disyukuri oleh semua pihak.

"Kalau sebelum ini kita perlu sewa bot, bayar minyak dan pergi ke tengah laut untuk mencandat, tetapi sekarang dengan hanya berbekalkan jala atau pancing di tepi pantai pun sudah boleh dapat hasil.
"Ada yang saya lihat di media sosial, hasil tangkapan bukan sedikit, malah sampai bertong-tong," katanya kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) selepas merasmikan Majlis Jelajah Sambutan Hari Raya Anak Terengganu Di Perantauan 2026 di Dewan Antabara Indera Mahkota, semalam.

Katanya, pihak berkuasa tempatan (PBT) telah menyediakan kemudahan tong sampah di kawasan pantai, namun sikap bertanggungjawab dalam kalangan pengunjung amat penting bagi memastikan kebersihan terus terpelihara.
"Saya nak ajak rakyat Terengganu supaya jangan lupa aspek kebersihan. Bekas makanan, minuman dan sampah sarap perlu dikumpulkan dan dibuang ke dalam tong yang disediakan.
"Kalau tiada tong sampah di lokasi, bawa balik dan buang di tempat yang sepatutnya. Jadilah rakyat yang pembersih dan berdisiplin kerana kebersihan itu seperti mana disebut oleh nabi ianya sebahagian daripada keimanan," ujarnya.

Tegasnya, walaupun waktu tersebut merupakan 'masa menjadi' untuk sotong mula hinggap kepada umpan ataupun candat, ibadah kepada Allah tidak seharusnya diketepikan.
"Dalam keghairahan, kemeriahan dan juga kesungguhan kita nak mencandat sotong ini, jangan lupa sembahyang.
"Jangan lupa amal ibadah kita kepada Allah, sebab sotong ini juga sebahagian daripada rezeki Yang Allah berikan kepada kita. Jadi takkan kita nak ambil rezeki Allah sahaja, kepada Allah jangan lupa sembahyang
"Sampai masa, masuk waktu, ambil wuduk dan sembahyang. Tak Lama pun, 5 minit, 3 minit sudah jadi. Jangan lupa ibadah kita kepada Allah," pesan beliau.
Berdasarkan tinjauan, beberapa daerah telah dikenalpasti menjadi tempat persinggahan sotong jarum di pesisir pantai termasuklah daerah Setiu, Kuala Nerus, Kuala Terengganu, Marang, Dungun dan sehinggalah ke Kemaman.