Berita :
Rezeki Aidilfitri : Dulu Bayar Sewa RM300, Hari Ini Pegang Kunci Rumah Sendiri
Rezeki Aidilfitri : Dulu Bayar Sewa RM300, Hari Ini Pegang Kunci Rumah Sendiri
Ahmad Zaeem Zainudin
2 jam yang lepas
76

BESUT, 19 Mac - 'Bagai bulan jatuh ke riba' menjelang Syawal sekali gus menjadi detik bermakna buat pasangan nelayan, Mohd Akil Yusof, 45, dan isterinya, Niza Sulaiman, 37, apabila akhirnya berpeluang memiliki rumah sendiri menerusi Program Penempatan Semula Nelayan (PSN) Benting Lintang, di sini.

Selepas sekian lama menyewa rumah di Gelang Mas, Besut, dengan kadar RM300 sebulan, pasangan itu tidak menyangka akan terpilih sebagai penerima kediaman baharu yang disediakan kerajaan negeri untuk komuniti nelayan.

Akil yang merupakan nelayan bot kelas C berkata, peluang tersebut amat bermakna buat dirinya dan keluarga kerana sebelum ini mereka tidak mampu untuk membeli rumah sendiri.

"Memang rasa seronok sebab akhirnya dapat rumah sendiri. Anak-anak pun teruja bila tahu kami dapat rumah ini," katanya ketika ditemui selepas Majlis Penyerahan Kunci PSN Benting Lintang, baru-baru ini.

Menurutnya, dia dan isteri mempunyai empat orang anak berusia antara 19 tahun hingga lima tahun, dan semuanya berkongsi kegembiraan apabila mengetahui keluarga mereka bakal berpindah ke kediaman baharu.

Katanya lagi, rumah yang diterima juga merupakan lot tepi, sekali gus memberi ruang lebih selesa kepada keluarganya.

Sementara itu, Niza berkata, dia tidak sabar untuk berpindah ke rumah baharu dan mula merancang untuk menghias kediaman tersebut.

"Rasa memang seronok, tak sabar nak hias rumah sendiri," ungkapnya ringkas kepada pemberita, namun jelas teruja dengan penerimaan pada hari tersebut.

Kediaman yang diterima pasangan itu merupakan antara 50 unit rumah teres satu tingkat yang dibina di PSN Benting Lintang sebagai penempatan baharu kepada komuniti nelayan.

Rumah tersebut ditawarkan pada harga RM54,000 seunit walaupun kos sebenar pembinaannya ialah sekitar RM185,000, dengan bayaran bulanan kira-kira RM171 bagi tempoh pembiayaan selama 25 tahun.

Meskipun kos sebenar pembinaan perumahan tersebut tidak termasuk tapak rumah yang disediakan, ia tidak menjadi kebimbangan kepada para penerima kerana kos tersebut juga telah ditanggung sepenuhnya oleh Kerajaan Negeri Terengganu.

Bagi seorang lagi penerima, Mohd Khairul Nizam Abdul Rani, 46, peluang memiliki rumah itu juga disifatkan sebagai rezeki besar buat keluarganya yang mempunyai enam anak.

Nelayan sepenuh masa itu berkata, dia kini masih menyewa rumah di Kuala Besut pada kadar RM200 sebulan dan telah menunggu hampir empat tahun sebelum projek berkenaan siap.

"Rasanya hampir empat tahun tunggu siap. InsyaAllah lepas raya baru masuk. Memang jauh sikit dari tempat kerja, tapi berbaloi," katanya yang mula turun ke laut sejak berusia 18 tahun.

Sementara itu, Suhaimi Sulaiman, 43, yang kini masih tinggal bersama keluarganya di Air Tawar berkata, peluang memiliki rumah sendiri itu disifatkan sebagai rezeki Ramadan buat keluarganya.

"Anak-anak memang seronok nak pindah sini. Ini rezeki Ramadan, hadiah untuk kami sekeluarga," ujarnya yang juga merupakan bapa kepada dua cahaya mata berusia 10 dan enam tahun.

Turut berkongsi rasa syukur ialah Mohd Hafsham Mahmood, 45, yang buat masa ini menyewa rumah di Air Tawar pada kadar RM250 sebulan.

Menurutnya, memiliki rumah sendiri sebelum ini hanyalah impian kerana keadaan kewangan yang terhad.

"Kalau ikutkan memang tak mampu nak beli rumah baharu. Jadi bila dapat ini, memang syukur sangat," katanya.


Ketupat

Artikel Berkaitan