Jalur Gemilang
Berita :
RM11.68 Juta Setahun Urus Sampah - MBKT
RM11.68 Juta Setahun Urus Sampah - MBKT
Rohayati Ripin
1 jam yang lepas
120

KUALA TERENGGANU, 15 Oktober – Sebanyak RM11.68 juta diperuntukkan setiap tahun oleh Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) bagi menampung kos operasi pengurusan sisa pepejal, susulan jumlah kutipan sampah harian yang dianggarkan antara 350 hingga 400 tan.

Datuk Bandar Kuala Terengganu, Lizan Che Mat berkata, operasi berkenaan melibatkan penggunaan 40 buah lori sampah bagi memastikan kutipan dilaksanakan di seluruh kawasan pentadbiran MBKT, termasuk lokasi tertentu yang memerlukan kutipan dua kali sehari.

Menurutnya, kerja-kerja pembersihan di kawasan pelancongan dilaksanakan setiap hari, manakala kutipan sampah diselesaikan pada awal pagi bagi memastikan kawasan berkenaan sentiasa bersih dan teratur.

“Bagi kawasan pelancongan, kita akan pastikan tahap kebersihan dilaksanakan setiap hari dan semua sisa sampah diselesaikan pada awal pagi bagi memastikan keadaan sentiasa terkawal,” jelasnya ketika dihubungi Urus Setia Penerangan Darul Iman, hari ini.

Tambah beliau, kos operasi kutipan sisa pepejal dianggarkan RM32,000 sehari, bersamaan kira-kira RM960,000 sebulan dan RM11.68 juta setahun.

Katanya, perbelanjaan itu merangkumi kos tenaga kerja, bahan api, penyelenggaraan lori dan jentera, pengangkutan serta operasi pelupusan sisa pepejal.

Dalam pada itu, kerja-kerja pemotongan rumput dilaksanakan sekurang-kurangnya dua kali sebulan dan boleh ditingkatkan kepada tiga kali, bergantung pada kadar pertumbuhan rumput serta keperluan kawasan.

Menurut Lizan, antara cabaran utama yang dihadapi MBKT ialah kawasan liputan yang luas, merangkumi kawasan perumahan, komersial, pusat bandar dan lokasi pelancongan, selain peningkatan jumlah sampah ketika musim perayaan, cuti sekolah dan penganjuran program berskala besar.

"Peningkatan kos operasi, khususnya bahan api, penyelenggaraan kenderaan dan pertambahan perjalanan lori ke tapak pelupusan, turut memberi cabaran kepada pengurusan sisa pepejal," katanya.

Selain itu, sikap segelintir masyarakat yang membuang sampah di luar tong, melonggokkan sampah pukal di lokasi awam dan membakar tong sampah turut menyukarkan usaha memastikan kebersihan persekitaran sentiasa terpelihara.

"Perbuatan membuang barangan seperti tilam, perabot dan sisa kebun di kawasan tong sampah awam bukan sahaja menjejaskan kebersihan, malah boleh menyebabkan kawasan berkenaan kelihatan tidak terurus.

"Tindakan membakar tong sampah pula merupakan perbuatan vandalisme yang merosakkan kemudahan awam serta menambah beban pengurusan pihak berkuasa tempatan," tegasnya.

Sehubungan itu, kerjasama masyarakat amat penting dengan memastikan sampah dibuang di tempat yang disediakan, manakala sisa pukal diuruskan melalui kaedah pelupusan yang bersesuaian.

"Usaha mengekalkan kebersihan bandar bukan sahaja bergantung kepada operasi kutipan sampah oleh MBKT, malah memerlukan kesedaran dan tanggungjawab bersama masyarakat bagi memastikan persekitaran kekal bersih, selesa dan teratur," tambah beliau.


Tag :

Jalur Gemilang

Artikel Berkaitan