KUALA TERENGGANU, 16 Julai - Polis Diraja Malaysia (PDRM) Terengganu memberi jaminan tiada sekatan jalan raya atau 'pukat' akan diadakan sempena penganjuran RXZ Members 8.0 pada 31 Julai hingga 1 Ogos ini.
Jaminan itu telah diberi oleh Ketua Polis Terengganu, Datuk Mohd Khairi Khairudin dalam satu sidang media berkaitan RXZ Members 8.0 di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu, di sini, sebentar tadi.

Walau bagaimanapun, beliau menegaskan penguatkuasaan terhadap pelanggaran undang-undang jalan raya tetap dilaksanakan menerusi strategi operasi yang telah dirancang.
"Tidak ada sekatan jalan raya, tapi dalam masa yang sama penguatkuasaan masih berjalan.
"Tapi bagaimana ia dikendalikan itu tak boleh tanya saya. Itu strategi kami, benda yang rahsia tak boleh umum," katanya kepada pemberita.
Beliau berkata, pihak polis akan mempertingkatkan pemantauan di lokasi-lokasi strategik bagi mencegah kesalahan lalu lintas dan aksi berbahaya sepanjang program berlangsung.
Ulasnya lagi, seramai 619 pegawai dan anggota akan digerakkan di seluruh negeri bagi memastikan kelancaran trafik, di samping memastikan keselamatan peserta dan pengguna jalan raya sentiasa terpelihara.
Selain itu, tambahnya, rondaan akan dipertingkatkan menerusi Unit Rondaan Bermotosikal (URB) dan kereta peronda (MPV), khususnya di kawasan-kawasan awam dan sensitif selain menempatkan pondok atau khemah polis di beberapa lokasi terpilih.
"Kita akan buat rondaan berskala yang mana kita pun ada unit URB bermotosikal dan unit MPV.
"Saya harap peserta pun kena faham sensitiviti di kawasan hospital. Bunyi hon pun tak boleh, inikan pula motor yang bising seperti pengubahsuaian ekzos.
"Dia orang (peserta RXZ Members) kena ambil perhatian dan ambil cakna di kawasan-kawasan tertentu ini," tegasnya.
Dalam pada itu, Mohd Khairi turut mengingatkan peserta beragama Islam agar tidak mengabaikan kewajipan menunaikan solat sepanjang menyertai RXZ Members 8.0.
"Bagi yang beragama Islam jangan abaikan solat walau di mana anda berada," nasihatnya .