Berita :
Sambutan Raya DUN Hulu Besut Meriah, Tarik 10,000 Pengunjung
Sambutan Raya DUN Hulu Besut Meriah, Tarik 10,000 Pengunjung
Norekwan Mamat
16 jam yang lepas
151

BESUT, 14 April – Sambutan Hari Raya Aidilfitri Peringkat DUN Hulu Besut 2026 berlangsung meriah dengan kehadiran hampir 10,000 pengunjung, mencerminkan sambutan luar biasa dan hubungan erat antara pemimpin serta masyarakat setempat.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Besut, Mohd Husaimi Hussin berkata, kehadiran seawal jam 10.30 pagi walaupun majlis dijadualkan bermula pada jam 11.00 pagi membuktikan sambutan yang amat menggalakkan daripada penduduk.

Menurut beliau, program tersebut bukan sahaja menjadi platform meraikan Aidilfitri, malah mengukuhkan semangat kebersamaan dan perpaduan dalam kalangan masyarakat.

“​Alhamdulillah, segala perancangan berjalan lancar. Antara menu utama yang menjadi tumpuan termasuklah gulai kawah, kambing golek, laksa, ketupat, dan char kuey teow. 

"Kita pastikan makanan mencukupi dan habis diagihkan dengan baik kepada semua tetamu," ujar beliau ketika ditemui pihak media selepas program tersebut.

Selain itu, majlis turut diserikan dengan pelbagai pengisian menarik termasuk persembahan hiburan yang berjaya menarik perhatian pengunjung pelbagai peringkat umur.

Dalam masa sama, beliau turut menegaskan kepentingan memberi pengiktirafan kepada generasi muda apabila lapan pelajar cemerlang yang memperoleh keputusan Straight A dalam peperiksaan SPM 2025 diraikan melalui penyampaian sumbangan khas.

Sumbangan tersebut merupakan tanda penghargaan dan galakan daripada pihak DUN agar para pelajar terus memburu kejayaan di peringkat yang lebih tinggi.

“Inisiatif ini penting bagi menyuntik semangat kepada pelajar lain untuk terus berusaha mencapai kejayaan dalam bidang pendidikan,” ujarnya.

Tambah beliau, kejayaan penganjuran program berskala besar itu juga adalah hasil komitmen tinggi dan kerjasama semua pihak termasuk petugas serta sukarelawan.

Justeru itu, beliau merakamkan ucapan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pihak yang bertungkus-lumus memastikan kelancaran program tersebut.

​"Jutaan terima kasih diucapkan kepada seluruh petugas dan semua pihak yang terlibat dalam menjayakan sambutan kali ini. Tanpa kerjasama erat semua, majlis ini tidak mungkin dapat dilaksanakan dengan jayanya," tambahnya.

​Suasana majlis diserikan dengan persembahan hiburan daripada artis jemputan, Poyie Gasi bersama kumpulan tiga Beradik,  berjaya menghiburkan tetamu daripada pelbagai lapisan umur.


Tag :

Ketupat

Artikel Berkaitan