Berita :
SATU Rugi Hampir RM200 Juta Setahun Akibat Kebocoran Paip
SATU Rugi Hampir RM200 Juta Setahun Akibat Kebocoran Paip
Mastura Jamal Din
13 jam yang lepas
236

KUALA TERENGGANU, 20 Mei - Syarikat Air Terengganu Sdn. Bhd. (SATU) berdepan kerugian hampir RM200 juta setahun akibat kebocoran paip dan kehilangan air tidak berhasil (NRW) di negeri ini.

Ketua Pegawai Eksekutif SATU, Ts Abdul Karim Endut berkata, jumlah itu merupakan sebahagian daripada anggaran kerugian lebih RM2 bilion yang dicatatkan di seluruh negara setiap tahun akibat isu kebocoran air.

Menurutnya, situasi berkenaan memberi kesan besar kepada pengurusan bekalan air serta kewangan operasi syarikat utiliti air, khususnya dalam memastikan pengguna terus menerima bekalan mencukupi pada tekanan yang sesuai.

Beliau berkata, sebahagian besar masalah NRW berpunca daripada paip lama yang mengalami kebocoran, sekali gus memerlukan kos penyelenggaraan dan penggantian yang tinggi setiap tahun.

“Kerana lebih banyak air kita salurkan dalam rangkaian sistem kita, nak pastikan pengguna dapat air lebih, dapat air yang mencukupi pada tekanan yang betul, lebih banyaklah kebarangkalian berlaku kebocoran paip.

“Itulah yang berlaku. 70 peratus daripada kehilangan air kita kerana kebocoran paip.

“Pihak kami terpaksa mengeluarkan perbelanjaan yang agak besar setiap tahun bagi melakukan penyelenggaraan dan penggantian paip-paip lama berkenaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Majlis Sambutan Hari Terbuka Loji SATU sempena Hari Air Sedunia 2026 di Loji Rawatan Air Bukit Sah, di sini.

Dalam masa sama, Abdul Karim berkata, SATU sentiasa mengambil tindakan segera terhadap setiap aduan kebocoran yang diterima daripada pengguna.

Menurutnya, tindakan pembaikan akan dilaksanakan selepas aduan disahkan dan dipastikan tidak berlaku pertindihan laporan.

“Apabila menerima laporan berkaitan kebocoran, tindakan akan diambil serta-merta selepas aduan disahkan dan dipastikan tiada pertindihan laporan.

“Kerja pembaikan dilakukan sama ada oleh pasukan SATU sendiri atau vendor strategik yang dilantik mengikut zon di setiap daerah,” katanya.

Beliau berkata, orang ramai boleh membuat aduan melalui panggilan telefon atau aplikasi MySATU yang disediakan bagi memudahkan proses pelaporan.

Katanya, aplikasi MySATU membolehkan pengguna memuat naik gambar dan lokasi kebocoran, sekali gus membantu mempercepatkan tindakan pembaikan di lapangan.

“Saya menggalakkan pengguna menggunakan aplikasi MySATU kerana ia lebih mudah dan pantas untuk tindakan diambil,” katanya.

Abdul Karim berkata, kerjasama pengguna amat penting dalam membantu SATU mengesan kebocoran lebih awal, sekali gus mengurangkan pembaziran air terawat dan memastikan sistem bekalan air negeri dapat diurus dengan lebih cekap.


Tag :

Ketupat

Artikel Berkaitan