Berita :
Pelajar UMT Diiktiraf Sebagai Duta CoralWatch Asia
Pelajar UMT Diiktiraf Sebagai Duta CoralWatch Asia
Noraini Jusoh
18 jam yang lepas
112

KUALA NERUS, 20 Mei – Pelajar Doktor Falsafah (PhD) Ekologi Marin, Fakulti Sains dan Sekitaran Marin (FSSM), Universiti Malaysia Terengganu, Ong Chai Kee mengharumkan nama negara apabila dipilih sebagai 'CoralWatch Asia Ambassador' sempena Bengkel CoralWatch Asia 2026 yang berlangsung selama empat hari di Taiwan berakhir 17 Mei lalu.

Pejabat Komunikasi Korporat UMT dalam satu kenyataan memaklumkan, Ong turut menerima tajaan penuh menyertai program berprestij antarabangsa tersebut yang menghimpunkan peserta daripada pelbagai negara dan bidang profesional berkaitan pemuliharaan marin.

Menurut kenyataan itu, program berkenaan dianjurkan oleh The University of Queensland menerusi inisiatif CoralWatch dengan kerjasama Marine Affairs Research Center of National Kaohsiung University of Science and Technology (NKUST), serta disokong oleh Taiwan’s Ocean Conservation Administration dan Ocean Affairs Council.

"Medan perkongsian antarabangsa itu memberi fokus kepada pengukuhan pemantauan terumbu karang, pembangunan sains masyarakat (citizen science) dan peningkatan kapasiti pemuliharaan marin di rantau Asia-Pasifik.

"Penyertaan daripada pelbagai sektor termasuk sains marin, pendidikan alam sekitar, penyelaman skuba, muzium, agensi kerajaan dan pertubuhan alam sekitar dari Taiwan, Malaysia, Filipina, Amerika Syarikat dan Finland mencerminkan kerjasama antarabangsa yang semakin kukuh dalam usaha melindungi ekosistem marin dan kelestarian lautan, " ujarnya. 

Sementara itu Ong berkata, pengiktirafan yang diterima menjadi pemangkin untuk beliau terus memperluaskan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan pemuliharaan terumbu karang.

“Saya amat bersyukur kerana terpilih menyertai bengkel ini dan seterusnya dianugerahkan sebagai CoralWatch Asia Ambassador. Selepas ini, saya berharap dapat berkongsi ilmu dengan komuniti bagi meningkatkan kesedaran tentang pemuliharaan karang.

“Saya juga berharap dapat memperluaskan pengetahuan pemantauan CoralWatch kepada rakyat Malaysia agar lebih ramai individu prihatin terhadap terumbu karang dapat bersama-sama bertindak sebagai saintis rakyat dalam memantau kesihatan karang di perairan Malaysia,” katanya.

Dalam pada itu, Naib Canselor Universiti Malaysia Terengganu, Profesor Ir Ts Dr Mohd Zamri Ibrahim berkata, pencapaian tersebut membuktikan kemampuan penyelidik muda universiti itu untuk bersaing dan diiktiraf di peringkat antarabangsa.

Menurut beliau, penglibatan aktif mahasiswa dan penyelidik UMT dalam program global berkaitan pemuliharaan marin selari dengan aspirasi universiti sebagai institusi rujukan dalam bidang kelautan dan sains marin.

“Pengiktirafan ini bukan sahaja membanggakan UMT, malah mencerminkan komitmen universiti dalam melahirkan penyelidik muda yang kompeten, berdaya saing dan mampu menyumbang kepada agenda kelestarian lautan di peringkat antarabangsa.

“UMT akan terus menyokong penglibatan pelajar dan penyelidik dalam jaringan kerjasama global yang memberi impak kepada pemuliharaan sumber marin dan pembangunan mampan,” katanya.


Tag :

Ketupat

Artikel Berkaitan