Berita :
Terengganu Umum Pelan Rangsangan Ekonomi Fasa 1, RM3 Juta Bantu Pesawah
Terengganu Umum Pelan Rangsangan Ekonomi Fasa 1, RM3 Juta Bantu Pesawah
Husaif Mamat
15 jam yang lepas
286

KUALA TERENGGANU, 20 Mei - Kerajaan Terengganu mengumumkan Pelan Tindakan Rangsangan Ekonomi Negeri Terengganu Fasa 1 dengan memperuntukkan RM3 juta insentif kepada pesawah sebagai langkah membantu sektor pertanian berdepan tekanan kos semasa.

Menteri Besar, Dato' Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, insentif itu diberikan pada kadar RM100 bagi setiap tan metrik padi yang dikeluarkan pesawah.

Menurut beliau, bagi pengeluaran melebihi 10 tan metrik, insentif maksimum sebanyak RM1,000 akan diberikan kepada setiap pesawah.

“Inisiatif ini dijangka memberi manfaat kepada 4,513 pesawah dengan jumlah peruntukan RM3 juta,” katanya dalam satu kenyataan sebentar tadi. 

Ahmad Samsuri berkata, kerajaan negeri turut memberikan moratorium di bawah Skim Bantuan Modal Tani bermula Mei 2026 hingga April 2027.

Beliau berkata, langkah itu melibatkan kira-kira 400 peminjam dengan nilai pinjaman tidak dikutip sebanyak RM2.9 juta.

Menurutnya, bantuan tersebut merupakan antara langkah awal kerajaan negeri bagi mengurangkan tekanan kepada golongan petani, khususnya ketika kos input pertanian dan operasi dijangka terus meningkat.

Dalam masa sama, Ahmad Samsuri berkata, Pelan Tindakan Rangsangan Ekonomi Negeri Terengganu Fasa 1 diperkenalkan susulan tekanan ekonomi global akibat krisis Asia Barat.

Beliau berkata, krisis melibatkan Iran, Amerika Syarikat dan sekutunya memberi kesan besar kepada ekonomi negara terutama menerusi peningkatan kos bahan api, logistik dan insurans.

Menurut beliau, keadaan itu menyebabkan pengeluar dan peniaga terpaksa menanggung kos operasi yang lebih tinggi, sekali gus berpotensi mendorong kenaikan harga barangan dalam tempoh beberapa bulan akan datang.

“Bagi menangani krisis ini, kerajaan negeri mengambil langkah proaktif untuk mengukuhkan pertumbuhan ekonomi, menyokong kelangsungan sektor Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana serta membantu aktiviti pengeluaran padi,” katanya.

Ahmad Samsuri berkata, antara langkah lain yang dilaksanakan ialah membuat penilaian semula Jadual Kadar Harga bagi bahan binaan terpilih serta penyelarasan kos kontrak berdasarkan perubahan harga semasa.

Beliau berkata, kerajaan negeri juga akan memberi tumpuan kepada pelaksanaan projek kecil yang berimpak tinggi dan mudah dilaksanakan supaya manfaatnya dapat dirasai rakyat dengan lebih cepat.

Jelasnya, bagi sektor keusahawanan pula, kerajaan negeri memberikan moratorium selama tujuh bulan bermula Jun hingga Disember 2026 kepada peminjam di bawah Skim Tabung Usahawan Terengganu Sejahtera.

Tambah beliau, inisiatif itu dijangka memberi manfaat kepada 783 peminjam dengan nilai pinjaman tidak dikutip berjumlah RM2.1 juta.

“Kerajaan negeri turut bersetuju menambah saiz dana sebanyak RM2 juta pada tahun 2026 supaya lebih ramai usahawan dapat dibantu,” katanya.

Ahmad Samsuri berkata, Belanjawan 2026 juga akan diselaraskan semula berdasarkan keperluan semasa dan strategi lebih bersasar ke arah pengukuhan ekonomi negeri.

Beliau berkata, kerajaan negeri akan terus memastikan rakyat serta sektor-sektor terlibat dibantu bagi mengurangkan tekanan ekonomi semasa.

“Diharapkan inisiatif ini dapat dimanfaatkan sebaiknya oleh pemain-pemain dalam sektor terlibat.

“Kerajaan negeri akan terus berusaha memastikan keseluruhan rakyat terus dibantu dan keadaan ekonomi kembali pulih kelak,” katanya.



Tag :

Ketupat

Artikel Berkaitan