Berita :
SCHY Va El Tercero Jaguh Piala Yang Di Pertuan Muda Terengganu 2026
SCHY Va El Tercero Jaguh Piala Yang Di Pertuan Muda Terengganu 2026
Mohd Irsyadi Abu Bakar
1 hari yang lepas
60

SETIU, 5 Julai - SCHY Va El Tercero dinobatkan sebagai 'Best Condition Horse' pada kejohanan Piala Yang Di Pertuan Muda Terengganu 2026, yang berakhir hari ini.

Ketangkasan dan kestabilan kuda baka Arab yang berasal dari Argentina itu membantu penunggang pasukan State Of Terengganu Endurance Team (STET), Mohd Faris Haikal Mohd Hassan Sa'Ari mengungguli perlumbaan utama CEI 120KM dengan catatan masa 06:05:21 saat.

SCHY Va El Tercero berlari dengan purata 19.17KM dalam lima peringkat larian perlumbaan untuk muncul pemenang di trek Lembah Bidong.

Dalam acara penutup yang berlangsung di Terengganu International Endurance Park (TIEP), KDYMM Pemangku Sultan Terengganu, Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan mencemar duli menyampaikan hadiah wang tunai sebanyak RM5,000 bagi kategori 'Best Condition Horse'.

Baginda turut menyampaikan hadiah piala dan wang tunai sebanyak RM10,000 kepada Faris dan STET atas kejayaan dalam acara utama CEI 120KM.

Dalam pada itu, kejohanan kali ini menampilkan tiga kategori perlumbaan yang disertai lebih 50 penunggang dari dalam dan luar negara.
Antara yang mencuri tumpuan ialah pelumba Singapura, Khee Hiang Lynette Tan apabila berjaya menduduki tempat kelima acara CEI 120KM.


Tag :

Ketupat

Artikel Berkaitan